Laporan Eksklusif

Teguran Tun M perlu diambil perhatian

teguran tun m

SHAH ALAM – Ahli akademik berpendapat teguran yang dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu catatan di blognya perlu diambil perhatian bagi memastikan kerajaan pada hari ini terus bergerak dengan mantap.

Pakar Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Amir Hussin Baharudin berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berada di landasan yang betul, namun masih terdapat sedikit kelemahan yang wujud disebabkan oleh faktor orang sekeliling.

‘Secara peribadi saya anggap beliau (Najib) lulus dan berada di tahap yang baik, kalau ada perkara yang merosakkan itu bukan daripada beliau tapi berpunca daripada orang tertentu seperti sektor korporat yang tidak mengikut perintah dan pembangkang yang merendahkan kerajaan.

“Jika diambil kira dari tempoh 13 Mei 2013 baru setahun lebih selepas PRU13, beliau dalam era meniti kejayaan bagaimanapun, keadaan luar jangka seperti insiden MH370 dan MH17 sedikit sebanyak telah mengganggu perjalanan itu,” katanya bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menegur pentadbiran Najib dan dianggap lebih teruk daripada pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Amir, dari sudut ekonomi dasar-dasar yang dibawakan bertepatan pada masanya namun masih terdapat perkara yang lompong perlu diperbaiki.

“Kita perlu akui contoh dari segi pengagihan subsidi terdapat ketirisan, jadi kita ambil perhatian dan baiki. Anggap apa yang ditegur Tun itu untuk kebaikan negara,” katanya.

Dr Mahathir dalam tulisannya ,mendakwa wang kerajaan digunakan untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila pilihan raya umum sehingga menjadikan rakyat terlalu bergantung pada kerajaan.

Selain itu, katanya dasar ekonomi mengutamakan tuntutan pengguna, import barangan digalakkan dan industri tempatan diabaikan bahkan dihalang oleh dasar kerajaan.

Mengulas kenyataan itu, Amir berkata apa yang dilakukan kerajaan itu wajar kerana kuasa membeli ada pada rakyat, contoh dalam pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) diberikan setelah rekonsiliasi subsidi bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak tertindas dengan kos semasa.

“Pemberian bantuan ini tidak bermaksud rakyat bergantung terus pada kerajaan, perlu diingat duit itu akhirnya akan menjadi pusingan pada pendapatan negara,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Salawati Mat Basir berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa langkah menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kurang tepat.

Salawati berkata,  akta baharu yang diwujudkan hari ini tidak sekuat ISA sehingga ramai orang berani mempersoalkan tindakan kerajaan dalam banyak hal.

“Sejarah Malaysia unik berbilang kaum dan agama, Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam agama Persekutuan, namun masih ada yang berani mempersoalkan perkara itu.

“Kehilangan Akta ISA membuat orang sudah tidak takut, dengan beraninya sesetengah pihak mengguris hati kaum dan agama lain.

Tambah beliau, sejak daripada dahulu barat mempunyai agenda mereka terhadap negara membangun iaitu membangkit soal hak asasi.

“Fahaman hak asasi cara barat ditanam di kalangan etnik yang tidak suka akan majoriti di Malaysia. Sikit-sikit mereka akan bangkitkan soal hak asasi akhirnya semangat kenegaraan terhakis,” katanya.

Menurut beliau keadaan akan lebih membimbangkan sekiranya Akta Hasutan juga dihapuskan.

“Kita dapat lihat situasi semasa, institusi diraja dihina sewenangnya di laman sosial. Tiada perasaan takut atau bersalah kerana ada sahaja pihak mengulangi perkara itu.

“Apabila badan berkuasa bertindak ada pula yang mempersoalkan tugas pihak berkuasa, jadi kita bimbang jika tiada akta yang kuat untuk menyokong perkara yang tidak diingini akan terjadi,” katanya.

Sehubungan itu beliau berpendapat apa yang dibangkit oleh Dr Mahathir satu teguran yang baik bukan untuk memburukkan mana-man pihak.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");