Isu Panas

Abdul Khalid enggan ulas bakal penggantinya

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini enggan mengulas mengenai bakal pengganti beliau yang dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang, Selasa ini.

Malah, Abdul Khalid juga enggan memberi sebarang komen berhubung proses penyerahan tugas jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.

“Tiada…kita sudah setuju tidak boleh buat komen sehingga Selasa (majlis angkat sumpah),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Shah Alam City Ride’ anjuran Tourism Selangor di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini.

Menteri Besar itu juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya perancangan beliau seterusnya apabila mengakhiri tugas secara rasmi kelak.

“(Perkara itu) akan diumumkan selepas Selasa,” jawabnya ringkas.

Persoalan mengenai siapa pengganti Abdul Khalid masih belum terjawab sehingga kini walaupun pihak Istana Selangor pada Khamis lepas, telah mengesahkan bahawa Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani semalam dilaporkan berkata nama menteri besar yang baharu akan diumumkan selewat-lewatnya Isnin ini bergantung kepada perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Nama Adun Bukit Antarabangsa, Mohamad Azmin Ali dan Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad disebut-sebut sebagai calon yang dikatakan bakal mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor yang ke-15 itu.

Bagaimanapun, akhbar The Star hari ini melaporkan Sultan Sharafuddin telah berkenan menerima menghadap Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor dan seorang lagi Exco Selangor daripada Pas yang juga Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi secara berasingan pada awal minggu ini.

Akhbar itu melaporkan pertemuan itu adalah bagi membolehkan baginda menilai kesesuaian mereka untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran Selangor itu dan merupakan sebahagian daripada langkah-langkah akhir untuk memutuskan siapakah calon terbaik yang mampu menggantikan Abdul Khalid.

Sementara itu, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang turut enggan memberi sebarang komen ketika diminta mengulas cubaan terakhir PKR untuk memohon menghadap Sultan Selangor. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");