Jenayah

BAHANA BERHENTI DI SELEKOH

Perjalanan pulang sekumpulan 36 pekerja kilang warga asing nyaris mengundang tragedi kepada mereka apabila dua bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, seorang penumpang patah kaki kanan manakala 16 lagi cedera ringan akibat terhentak pada tempat duduk dan mereka diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Selain itu, pemandu bas Ramli Md Ismail, 61, cedera parah di tangan kanan namun enam penumpang dalam bas dipandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan itu dikatakan berlaku apabila bas dipandu Ramli mengalami kerosakan dan dia berhenti di bahu jalan selepas mendengar bunyi yang dipercayai terhasil daripada tayar belakang.

Namun, pemandu sebuah lagi bas kilang yang membawa 30 penumpang yang datang daripada arah sama tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian belakang kanan bas yang rosak itu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas pertama memberhentikan kenderaannya di selekoh.

Menurutnya, sebuah lagi bas yang datang dari belakang tidak sempat mengelak bas yang berhenti di selekoh itu dan merempuh bucu kanan bas di depannya.

“Siasatan awal juga mendapati pemandu bas yang mengalami kerosakan itu tidak meletakkan kon tanda amaran menyebabkan pemandu bas di belakang tidak sempat melihat kenderaan itu dan terus merempuhnya.

“Semua pekerja berkenaan dalam perjalanan pulang dari sebuah kilang di Bayan Lepas selepas tamat syif malam dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");