Berita Hari Ini

BMI akan dikira dalam KPI

GEORGETOWN – Bagi meningkatkan kesedaran pentingnya kesihatan, pelbagai langkah dilaksanakan termasuk cadangan memasukkan Indeks Jisim Badan (BMI) ke dalam pengiraan Indeks Prestasi Utama (KPI).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ia sebagai salah satu langkah mendidik masyarakat mementingkan kesihatan, namun ia masih di peringkat cadangan.

“Kita tidak paksa, namun ia lebih kepada galakan. Cadangan ini akan dibawa ke kementerian dan saya berharap agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih serius pada masa akan datang.

“Siapa yang mempunyai BMI tinggi, maka markah KPI akan diturunkan satu atau dua. Dengan cara ini, kita berharap, masyarakat sentiasa mengambil berat kesihatan mereka,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Jantung Sedunia 2014 di Hospital Pulau Pinang (HPP), semalam.

Menurutnya, rakyat Malaysia dilihat tidak menghiraukan kesihatan berikutan saluran untuk mendapatkan rawatan amat mudah.

“Oleh demikian, kementerian perlu membuat sesuatu untuk menyedarkan masyarakat pentingnya kesihatan terutamanya penyakit kronik yang tidak berjangkit, antaranya sakit jantung serta kanser,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hilmi berkata, sebuah bangunan baharu akan dibina di Hospital Seberang Jaya khusus untuk pesakit jantung terutamanya kanak-kanak.

Menurutnya, pembinaan bangunan yang akan menempatkan 300 katil itu adalah untuk pesakit jantung berikutan HPP tidak mampu menampung pesakit yang semakin meningkat.

“Kementerian sudah meluluskan pembinaan blok baharu khusus kepada pesakit jantung di hospital berkenaan dan akan dimulakan pembinaannya tahun depan serta dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Blok baru itu mengandungi lima tingkat dan akan diberi keutamaan kepada pesakit jantung kanak-kanak, namun jika wad orang dewasa penuh, mereka juga akan ditempatkan di situ.

Selain itu, wad bersalin di HPP juga akan dirobohkan untuk didirikan blok baru untuk Klinik Ibu dan Anak,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");