Jenayah

Kereta terbabas rempuh treler

GUA MUSANG – Seorang kanak-kanak parah, manakala empat ahli keluarganya cedera ringan apabila kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu berlanggar dengan sebuah treler di Kilometer 7.4 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran Taman Rusa, dekat sini, petang kelmarin.

Kanak-kanak yang cedera parah di kepala itu dikenali, Tasin Fayez Reza, 10, manakala pemandu kereta yang juga bapa mangsa, Fazal Reza, 41, isterinya, Nazma Sayka Amin, 39, seorang lagi anak mereka, Adyan Fayad Reza, 4, dan bapa Fazal, Ali Reza Khan, 77.

Kesemua mereka yang beralamat di Kubang Kerian, Kota Bharu menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) manakala Tasin Fayez dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, kereta yang dipandu Fazal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu terbabas ketika menuruni bukit sebelum berlanggar dengan sebuah treler yang penuh muatan papan, dari arah bertentangan.

Berikutan kejadian itu, semua mangsa tersepit di dalam kenderaan dan terpaksa menunggu bantuan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, diketuai Ketua Operasi Bomba, Mohd Razani Mamat.

Menurut Mohd Razani, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.09 petang.

Tujuh anggota dengan sebuah jentera segera ke lokasi kejadian, bagaimanapun sebaik tiba, pihaknya mendapati semua mangsa telah dikeluarkan orang ramai.

Beliau berkata, Tasin Fayez yang parah terpaksa diberi rawatan awal di tempat kejadian oleh Unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan (EMRS) Bomba Gua Musang.

“Seorang anggota bomba, Azwan Arif ditugaskan khususnya bagi perkhidmatan EMRS dengan memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera parah.

“Kita menyediakan anggota bomba khusus dalam bidang berkenaan sejak awal tahun ini dan setiap kejadian kemalangan anggota tersebut akan ada bersama untuk membantu mangsa memberi rawatan, sementara menunggu ambulans,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");