Laporan Eksklusif

Elak sindrom klasik

Kuala Lumpur: “Saya mengesa semua pemilik syarikat yang belum mendaftar supaya elakkan sindrom klasik rakyat Malaysia iaitu suka mendaftar pada saat akhir,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika ucaptama Seminar Antarabangsa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, di sini, semalam.

Najib berkata, pendaftaran awal akan membolehkan mereka mempelajari dan memahami pelaksanaan struktur cukai baru itu yang akan dilaksanakan April tahun depan.

“Saya meminta kepada semua rakyat Malaysia terutamanya perniagaan supaya mendaftar secepat mungkin.

Lebih awal mereka mendaftar, lebih cepat mereka mendapat latihan berkaitan sistem cukai baru ini,” katanya.

Menurutnya, pendaftaran dan pemahaman lebih awal akan membolehkan perniagaan membuat persediaan lebih baik yang seterusnya memberi manfaat kepada perniagaan mereka.

Beliau berkata, pelaksanaan GST dilihat sebagai tepat pada masanya memandangkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan selama ini tidak lagi sesuai untuk ekonomi progresif seperti Malaysia.

“Ia adalah satu cara untuk meningkatkan pendapatan negara yang setakat ini banyak disumbangkan oleh cukai pendapatan individu.

“Selain itu, dianggarkan lebih 40 peratus pendapatan kerajaan disumbangkan daripada sektor minyak dan gas yang diketahui tidak kekal lama dan akan habis.

“Sudah tiba masanya negara tidak perlu terlalu bergantung kepada sumber yang terhad ini.

Justeru, GST adalah langkah pembaharuan strategik dalam pengurusan cukai negara dan menjana pendapatan mampan untuk negara terus berdaya saing,” katanya.

Perdana Menteri berkata, GST akan meletakkan Malaysia setaraf dengan negara serantau dan berdaya saing dari segi pelaburan dan perniagaan kerana terdapat beberapa segmen yang dikecualikan GST.

“Ini juga akan memberi kelegaan kepada keluarga yang berada dalam kategori kelas sederhana dan rendah memandangkan banyak produk asas pengguna dikecualikan daripada GST,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan GST dilaksanakan dengan betul, kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk memperuntukkan RM100 juta untuk meningkatkan kesedaran dan program latihan di seluruh negara.

Pakej insentif bernilai RM150 juta turut disediakan bagi usahawan kecil dan sederhana (PKS) bagi tujuan pembelian perisian dan perkakasan berkaitan GST untuk memastikan peralihan sistem percukaian yang lancar.

Sehingga semalam, sebanyak 35,998 syarikat mendaftar untuk GST dan kementerian menyasarkan 123,000 akan mendaftar sehingga akhir tahun ini.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");