Membawang Hari Ini

Kempen Salute Malaysia

KINI tatkala tiba perayaan sambutan hari kemerdekaan atau sambutan hari Malaysia, sukar untuk melihat pemandangan Jalur Gemilang di mana-mana.

Boleh dikatakan, sukar untuk melihat hiasan kibaran Jalur Gemilang di rumah, kenderaan, bangunan atau pun di tepi jalan raya.

‘Kehilangan’ semangat patriotik itu memberikan idea kepada Yayasan Perdana Ummah (YPU) yang kemudiannya bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur UniKL dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk memberi kesedaran dalam menyemai rasa cinta terhadap Jalur Gemilang

Tanggungjawab itu seterusnya direalisasikan menerusi kempen Salute Malaysia. Kempen tersebut bukan sahaja mengajak masyarakat pada hari ini mengibarkan Jalur Gemilang pada hari sambutan kemerdekaan dan sambutan hari Malaysia sahaja, bahkan menyuntik rasa cinta terhadap negara kita.

Majlis pelancaran yang diadakan di perkarangan Kampus Kota UniKL baru-baru telah dilancarkan oleh pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan turut dihadiri oleh lebih 20 selebriti serta 30 atlit negara.

Antaranya adalah Datuk Yusof Haslam, Rita Rudaini, Kaka Azraf, Aweera, Johan As’ari, RJ, Soffi Jikan, Suki, Fizz Fairuz dan Ayda Jebat.

Bukan itu sahaja, YPU turut menerbitkan lagu tema ‘Salute Malaysia’ ciptaan Ct Farish dan liriknya oleh Shahrul Nasrun bersama Amelia Hassan.

Lagu tersebut dinyanyikan oleh barisan artis popular seperti Amy Search, Cat Farish, The Fabulous Cats, Lah Ahmad, Zain Ruffedge, Tiga Swagger, Ronie (Hyper Act), YMY, dan Ustaz Kyrel (ketua Munsyid Nur Ahli Badar YPU).

Ikuti temu bual bersama Ketua Pengawai Eksekutif YPU, Shahrul Nasrun Datuk Kamarudin berkenaan kempen Salute Malaysia.

Tahniah di atas penganjuran kempen ini. Boleh kongsikan antara lain objektif kempen ini diadakan?

Tujuan utama kempen ini adalah daripada menanam perasaan cinta pada Jalur Gemilang. Selain itu, kempen ini juga adalah salah satu pengisian bagi membuktikan kesungguhan dan kebanggaan menjadi anak Malaysia yang hidup dalam suasana negara merdeka.

Secara tidak langsung kempen ini membuktikan kepada negara luar bahawa masyarakat di negara ini masih mampu bersatu walaupun sejak akhir-akhir ini negara ditimpa pelbagai musibah seperti membabitkan pesawat MH370, MH17, isu Lahad Datu dan beberapa lagi.

Mengapa pihak YPU memilih atlet dan selebriti sebagai ikon kempen ini?

Tidak dinafikan, pembabitan para atlit serta para selebriti untuk acara seperti ini sebagai ikon, dilihat mampu menjadi landasan terbaik dalam menyampaikan maklumat kepada seluruh masyarakat di negara ini. Sebagai individu yang mempunyai pengaruh besar buat generasi baharu, kami yakin kempen ini mampu merealisasikan objektif utamanya.

Selain selebriti, apakah inisiatif lain yang dilakukan YPU dalam menarik golongan belia menyertai kempen ini?

Selain kempen, seluruh warga Malaysia juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM20,000 dengan memuat naik gambar “Tabik Hormat” Jalur Gemilang dalam laman sosial yang disediakan penganjur berserta #SALUTEMALAYSIA, dan #NEGARAKU.

Penyertaan sudah dibuka sejak Ogos lalu sehingga hari ini (16 September) dan gambar dengan idea yang kreatif akan dipilih sebagai pemenang.

Bukan itu sahaja, kami kini dalam usaha mempromosi kempen ini ke semua peringkat termasuk sekolah di seluruh negara dan IPT awam dan swasta

Bagaimana dengan maklum balas mengenai Salute Malaysia setakat ini?

Alhamdulillah, walaupun baru dilancarkan, kita banyak mendapat maklum balas positif daripada belia-belia. Malah ada beberapa pihak juga memberi sokongan dan mahu kita teruskan kempen ini sebagai acara tahunan.

Malah, menerusi hashtag : #salutemalaysia di laman sosial, ramai yang sudah berkongsi gambar dan pendapat mengenai kempen ini. Dan bila kita lihat, ia adalah sesuatu yang membanggakan.

Perkataan Salute menjadi pertikaian sesetengah pihak yang menganggap pihak YPU merojak bahasa. Komen anda?

Saya tidak melihat ia sebagai satu kesalahan walaupun perkataan salute berasal dari bahasa Inggeris tetapi merujuk kamus DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), perkataan salut dirujuk sebagai memberi hormat.

Lagipun sebelum membuat keputusan memilih tema ‘Salute Malaysia’, kami sudah membuat kaji selidik di peringkat IPT (institut pengajian tinggi) dan Salute Malaysia dipersetujui serta menjadi pilihan ramai.

Saya harap tidak ada pihak yang mempertikaikan kerana apa yang penting adalah objektif kami untuk menyuntik rasa cinta terhadap Jalur Gemilang dan negara.

Anda juga turut terlibat dalam proses penciptaan lagu Salute Malaysia. Boleh kongsikan keistimewaan lagu bagi kempen ini?

Lagu Salute Malaysia bukan sahaja sebuah lagu biasa patriotik dan menggunakan bahasa kebangsaan. Tetapi kami turut mengambil inisiatif menyelitkan elemen selawat yang menjadi jati diri dan ia tidak boleh dipisahkan dalam bangsa Melayu serta Islam.

Sebab itu saya katakan, walaupun kami menggunakan perkataan bahasa Inggeris, namun objektif dan jati diri anak Malaysia tidak kami lupakan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");