Berita Hari Ini

Lambakan doktor hanya alasan IPTA tak ambil pelajar perubatan baharu

Tindakan kerajaan mengurangkan pengambilan pelajar perubatan baharu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atas alasan lambakan doktor dibidas Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar.

Naib Pengerusi DAP itu juga mempersoalkan nasib 745 pelajar yang mendapat CGPA 4.00 tetapi gagal mendapat tempat dalam jurusan perubatan di IPTA.

Katanya, beliau bersimpati dengan nasib para pelajar yang gagal mendapat tawaran jurusan perubatan tahun ini sambil menjelaskan mereka tidak dapat berbuat apa apa kecuali mengikuti kursus lain yang ditawarkan.

“Anak-anak kita yang telah bertungkus lumus untuk mencapai cita-cita mereka untuk menjadi doktor. Tetapi, usaha dan harapan mereka terkecai apabila mereka mendapat tawaran membuat jurusan lain di unversiti-universiti awam.

“Malah mereka diminta untuk membuat rayuan jika tidak puas hati oleh Kementerian Pendidikan. Tetapi, persoalannya berapa ramai di antara mereka ini akan dipertimbangkan rayuannya?

“Bagi pelajar keluarga berada, masalah ini boleh diselesaikan dengan menghantar anak-anak ke institusi-institusi pengajian tinggi swasta. Tetapi, bagi keluarga yang miskin, pilihan untuk menghantar anak mereka memasuki universiti-universti swasta adalah angan angan sahaja disebabkan kos pembelajaran yang membatasi kemampuan mereka,” keluh beliau kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sivakumar yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak berkata, alasan Malaysia menghadapi lambakan doktor adalah tidak munasabah sambil mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan IPT swasta menawarkan kursus perubatan.

“Jika benar kita sedang menghadapi lambakan doktor, kenapa pula banyak institusi-institusi pengajian tinggi swasta diberi lesen untuk menawarkan kursus perubatan? ia tidak logik langsung,” kecam beliau.

Beliau berpendapat bahawa, alasan lambakan doktor ini dibuat semata-mata untuk menjustifikasi pengurangan pengambilan pelajar-pelajar baru di IPTA pada tahun 2014.

Pada tahun 2014, hanya 418 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang diberi tawaran mengikuti jurusan perubatan berbanding dengan tahun 2011 seramai 983 pelajar diberi peluang tersebut sekali gus berlaku pengurangan sebanyak 565 tempat perubatan di universiti-universiti awam dalam tempoh tiga tahun sahaja.

“Saya ingin mengetahui berapakah jumlah pengambilan pelajar-pelajar di IPTS di seluruh negara bagi tahun 2011, 2012, 2013 dan 2014. Soalan ini akan saya bangkitkan melalui soalan lisan Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 7 Oktober 2014.

“Saya juga mahu mendapatkan penjelasan yang sebenar daripada Menteri Pendidikan supaya perkara ini tidak diputar belitkan oleh mana-mana pihak dengan fakta-fakta yang salah,” tegas beliau lagi.

– Malaysia Gazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");