Berita Hari Ini

Perintah berkurung di Sabah dilanjut dua minggu

KOTA KINABALU – Perintah berkurung yang dikuatkuasakan di enam daerah di pantai timur Sabah iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau dilanjutkan hari ini hingga 5 Oktober.

Perintah berkurung itu yang dilaksanakan sejak 19 Julai kini memasuki fasa kelima selepas fasa keempat berakhir semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, lanjutan tempoh tersebut dibuat berdasarkan maklumat risikan dari pihak Filipina bahawa penjenayah sentiasa berada di sempadan perairan kedua-dua negara dan menunggu peluang untuk menceroboh atau menjalankan aktiviti penculikan di pantai timur Sabah.

“Kalau kita tidak buat perintah berkurung ini, sukarlah pihak keselamatan untuk menjaga kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai khususnya nelayan supaya mematuhi tempoh perintah berkurung tersebut dari 7 malam hingga 5 pagi bagi memastikan nelayan tidak berdepan masalah seperti bot mereka dirampas dan didakwa di mahkamah kerana melanggar arahan tersebut.

Mengenai kes penculikan anggota polis marin Zakia Aleip pada 12 Julai lalu di Semporna, katanya konstabel itu berada dalam keadaan selamat.

Menurutnya, mangsa telah menghubungi keluarganya sebanyak 68 kali sejak dilarikan kumpulan bersenjata berat yang melakukan serang hendap di Pulau Mabul dan kali terakhir mangsa membuat panggilan ialah pada pukul 2.14 petang semalam.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");