Perak Hari Ini

Perpaduan Elemen Terpenting Dalam Pucuk Pimpinan UMNO

Perpaduan merupakan elemen terpenting dalam kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus mara ke hadapan, ujar Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Berucap sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut, beliau yang juga merangkap Menteri Besar Perak berkata, elemen tersebut perlu dikekalkan supaya parti tersebut terus teguh untuk memimpin negara.

“Komponen yang paling penting dalam kepimpinan UMNO adalah perpaduan.

“Jangan pecah belahkan perpaduan yng telah terbina sejak dari awal penubuhan parti hinggalah sekarang.

“Kita perlu pelihara dan terus bersatu supaya pimpinan sedia ada berkembang dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerjasama yang ditunjukkan oleh semua ahli sejak kebelakangan ini jelas mempamerkan semangat perpaduan yang wujud di kalangan mereka.

“Kita bertanggungjawab untuk tadbir negeri dan kita semua perlu bersatu padu dan saling tolong-menolong.

“Berkat kerjasama inilah yang menjadikan UMNO terus kekal hingga tiada pihak yang mampu mengganggu-gugat serta menghancurkan perpaduan ini, ” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmiannya, berkata beliau akan terus berjuang untuk memastikan Akta Hasutan dikekalkan serta empat elemen yang telah termaktub dalam Perlembagaan tidak dicabar oleh mana-mana pihak di negara ini.

“Sebagai Naib Presiden UMNO yang mendapat amanah dan sokongan 188 daripada 191 bahagian di seluruh negara, saya berjanji akan mempertahankan elemen yang terdapat dalam Akta Hasutan.

“Sekiranya akta ini dimansuhkan, saya akan memastikan elemen dalam Akta Hasutan tersebut dimasukkan dalam Akta Keharmonian Nasional yang dikatakan akan menggantikan akta tersebut.

“Malah apa yang tiada dalam Akta Keharmonian tersebut tetap relevan dengan situasi terkini terutamanya dalam bidang media sosial.

“Kita juga mahu tindakan tegas dikenakan kepada pelaku-pelaku dan penggiat media sosial yang menyentuh perkara sensitif.

“Selain itu, jangan ada pihak yang berani untuk memperlekehkan dan mempersoalkan empat perkara yang ada dalam Perlembagaan iaitu kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu serta kedudukan bahasa Melayu,” ujar Zahid lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");