Sukan Hari Ini

Peserta luar negara perlu bebas Ebola

PESERTA luar negara khususnya dari benua Afrika yang bakal menyertai Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2014, Sabtu ini diwajibkan melalui ujian saringan kesihatan wabak penyakit Ebola sebelum dibenarkan mengambil bahagian.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, langkah keselamatan itu diambil bagi mengelak penularan virus penyakit tersebut dibawa masuk ke negeri ini.

Katanya, pada kejohanan edisi ketiga kali ini, pihaknya menerima 120 penyertaan dari 16 negara di mana 89 daripadanya adalah pelari dari benua Afrika iaitu Kenya (80), Ethiopia (7) dan Nigeria (2).

“Jadi kita sudah mewajibkan peserta dari luar negara ini untuk melakukan ujian saringan kesihatan terlebih dahulu dan mereka boleh berbuat demikian di kaunter kesihatan yang kini beroperasi di Karnival LAJSM di
Dataran Batu Burok sejak semalam (kelmarin) sehingga hari kejohanan,” katanya pada sidang media, semalam.

Mengulas mengenai sambutan LAJSM kali ini, Rozi berkata, seramai 22,297 peserta telah mengesahkan penyertaan dalam 13 kategori yang dipertandingkan dengan menawarkan hadiah tunai keseluruhan berjumlah RM278,800.

“Pada awalnya kita sasarkan seramai 10,000 peserta dan Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat membanggakan dengan melebihi 123 peratus daripada jangkaan awal berbanding 8,800 peserta tahun lalu.

“Malah pada kejohanan kali ini juga kita telah menempatkan 1,000 petugas termasuk sukarelawan dalam melicinkan lagi perjalanan acara larian nanti,” katanya.

Sementara itu, Rozi turut memaklumkan bahawa pada edisi keempat LJASM tahun hadapan, pihaknya akan memberi tumpuan untuk menarik lebih banyak penyertaan pelari dari rantau Asia Tenggara melibatkan negara Indonesia, Thailand dan Singapura.

Katanya, pada kejohanan kali ini pihaknya juga telah mengambil pendekatan untuk meningkatkan hadiah wang tunai kepada penyertaan bagi pelari tempatan kategori terbuka dengan menawarkan RM8,000 kepada juara berbanding RM5,000 tahun lalu. Manakala juara bagi kategori lelaki antarabangsa RM18,000 dan RM10,000 wanita.

Untuk rekod juara kategori antarabangsa LAJSM musim lalu diungguli pelari Kenya iaitu Josphat Kiptanui Too Chobei (2:07:31saat) bagi kategori lelaki dan rakan senegaranya Kiplo Jacquiline Nyetipei (2:30:10saat) juara kategori wanita selepas menamatkan larian sejauh 42 kilometer.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");