Berita Hari Ini

Tak jadi masalah bantu masyarakat Siam

TUMPAT – [DIKEMASKINI] Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu masyarakat Siam di negara ini menjadi sebahagian masyarakat yang penting dalam Malaysia.

Atas sebab itulah kerajaan memberikan pelbagai bantuan dan pertolongan kepada masyarakat itu, katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama-sama masyarakat Siam di Wat Machimmaram, Kampung Jubakar di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada Wat Siam berkenaan untuk mengajar bahasa Siam kepada anak-anak masyarakat berkenaan.

Beliau berkata soal pelajaran anak-anak perlu diberi penekanan agar maju dalam kehidupan seterusnya dapat memberi sumbangan kepada pembinaan negara.

“Sebenarnya jika sesebuah sekolah (kebangsaan) mahukan bantuan seperti guru bahasa Siam, kita boleh sediakan supaya mereka boleh belajar. Tak jadi masalah untuk kita bantu kerana itu tanggungjawab saya.

“Saya tak mahu anak-anak kita tak ada pengetahuan, dan sebab tak ada ilmu mereka tak boleh maju dalam kehidupan mereka. Ini akan menjadi masalah kepada negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 masyarakat Siam itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Turut hadir senator yang mewakili masyarakat Siam Datuk Boon Som Inong dan ketua sami Wat Machimmaram (Phrak Khru Wikthet Thammanard) Tham Thit.

Muhyiddin berkata kerajaan akan membantu masyarakat Siam di negara ini agar mereka turut mendapat layanan saksama seperti yang dinikmati oleh kaum-kaum lain.

“Kita akan bantu anak-anak dan masyarakat Siam…mendapat layanan yang saksama termasuklah soal berkaitan taraf Bumiputera mereka dan bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara)…kerajaan mesti bersikap adil kepada semua tak kira apa kaum,” katanya.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu semua kaum bagi membina sebuah masyarakat yang maju, katanya dan menurutnya kerajaan pusat bawahpimpinan BN tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga semua kaum, agama agar semua pihak terlibat dapat disatukan dan diberi pertolongan…agar dapat hidup dalam keadaan lebih senang dan kita harus bantu sepanjang masa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri melakukan lawatan di sini dalam rangka program turun padang sempena PRK DUN Pengkalan Kubor yang pengundian ditetapkan 25 September.

PRK itu diadakan berikutan kematian Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.

Pada PRK itu calon BN Mat Razi Mat Ail dicabar calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Noor Zahidi mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 1,736 undi.

Muhyiddin berkata beliau berharap BN akan mengekalkan kerusi DUN Pengkalan Kubor agar pengundi mempunyai wakil rakyat bagi memudahkan sebarang urusan mereka dibawa kepada perhatian kerajaan pusat. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");