Sukan Hari Ini

India ungguli Piala Sultan Johor

Johor Bahru: India mempertahankan trofi Piala Sultan Johor yang dimenangi tahun lalu selepas menewaskan Britain 2-1 menerusi gol kemenangan dramatik saat akhir pakar pukulan sudut penalti Harmanpreet Singh pada aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, semalam.

Babak pertama agak membosankan apabila kedua-dua pasukan bermain secara berhati-hati hingga tiada satu pun pukulan sudut penalti dihadiahkan baik kepada India mahupun Britain.

Hanya dua cubaan Britain iaitu pada minit ke-29 serta 32 yang hampir-hampir memecahkan kebuntuan, namun kedua-dua cubaan itu berjaya dinafikan barisan pertahanan India.

Bersambung separuh masa kedua, barulah kedua-duanya mempamer aksi menarik dengan India di depan pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti Harmanpreet.

Britain bagaimanapun menyamakan kedudukan 10 minit kemudian hasil pukulan sudut penalti Samuel French sebelum Harmanpreet menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir.

Sementara itu, skuad negara berjaya mengelak daripada menduduki tangga tercorot pada kejohanan edisi keempat itu selepas menewaskan Pakistan 3-1 pada penentuan tempat kelima-keenam.

Berbanding lima perlawanan sebelum ini, skuad bimbingan Arul Selvaraj bermula garang apabila mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan padang kapten pasukan Muhd Haziq Samsul.

Skuad negara terus konsisten melakukan serangan dan hasilnya mereka dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-24 yang disempurnakan Muhd Najmi Farizal Jazlan.

Tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, Muhammad Shahril Saabah menjadikan kedudukan 3-0 selepas tenang menguis masuk menerusi pukulan sudut penalti.

Pakistan merapatkan jurang pada minit ke-45 menerusi gol padang Muhammad Naveed, tetapi skuad negara kembali memperkemaskan rentak permainan hingga tamat perlawanan. -metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");