Berita Hari Ini

Kerajaan mungkin percepat potongan cukai korporat

KUALA LUMPUR – Ramai ahli ekonomi mengunjurkan kerajaan akan mempercepatkan tarikh pelaksanaan pengurangan cukai korporat pada pembentangan Bajet 2015 yang dijadualkan 10 Oktober ini.

Ahli ekonomi AllianceDBS Research Manokaran Mottain berkata walaupun kerajaan sudah mengumumkan pengurangan 1.0 peratus cukai pendapatan korporat pada 2014 dan berkuat kuasa pada 2016, beliau menjangkakan kerajaan akan mempercepat tarikh pelaksanaannya kepada 2015.

Bagi sektor swasta, pengurangan cukai korporat dan cukai pendapatan individu merupakan harapan berterusan mereka, katanya dalam laporan Fokus Ekonominya.

“Pengurangan cukai-cukai ini dapat mengurangkan sehingga RM4.0 bilion pendapatan cukai langsung kerajaan dalam tahun pelaksanaannya.

“Bagaimanapun menerusi rangka kerja pentadbiran cukai yang lebih berkesan yang dikemas kini pada 2013 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri, selain pendapatan menerusi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan penjimatan daripada subsidi bahan api apabila kerajaan memulakan mekanisme rasionalisasi pelbagai peringkat, penurunan hasil cukai langsung ini dijangka dapat diimbangi,” katanya.

Manokaran berkata, Bajet 2015 dijangka mesra perniagaan, tanpa merisikokan keyakinan penarafan asing dalam ekonomi.

Kenanga Investment Bank Bhd dalam unjuran ekonominya pula berkata bagi meningkatkan daya saing dan menarik pelaburan, kerajaan mungkin membuat pengumuman awal ke atas pengurangan cukai korporat sebanyak 1.0 peratus bagi 2016.

“Pengurangan cukai korporat pada 2015 mungkin tanda awal lebih banyak pengurangan pada masa akan datang. Rasionalnya ialah Malaysia masih kebelakang dalam lengkung kadar pengurangan cukai di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, RHB Research berkata Bajet 2015 dijangka memberi tumpuan ke atas kecekapan dan keberkesanan insentif cukai dan bukan cukai sedia ada.

“Kami tidak menjangkakan cukai pendapatan korporat dikurangkan dalam Bajet 2015, memandangkan kerajaan sudah mencadangkan pengurangan cukai berkenaan sebanyak 1 peratus kepada 24 peratus dalam Bajet 2014,” katanya dalam nota kajiannya.

RHB Research juga menjangkakan kerajaan melaksanakan lebih banyak audit cukai dan siasatan bagi memastikan pematuhan tinggi dan mengurangkan pengelakan cukai.

Pada masa yang sama, kerajaan mungkin menjual beberapa aset dan kepentingan ekuiti syarikat berkaitan kerajaan bagi menambah hasil.

Bajet 2015 ini juga merupakan perbelanjaan tahun akhir peruntukan lima tahun sebanyak RM230 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Dalam tempoh empat tahun pertama dari 2011 hingga 2014, perbelanjaan pembangunan sebanyak RM180 bilion, meninggalkan kira-kira RM50 bilion untuk Bajet 2015.

“Ini merupakan jumlah yang besar berdasarkan purata perbelanjaan tahunan dalam empat tahun pertama kira-kira RM45 bilion setahun,” kata Manokaran.

Kerajaan dijangkakan meneroka dan meningkatkan rangka kerja model teroka perniagaan awam-swasta berdasarkan projek pelaburan berimpak tinggi seperti pembinaan MRT dan Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid).

Menerusi komitmen berterusan kerajaan terhadap Program Transformasi ekonomi (ETP), pembangunan minyak dan gas akan terus memperoleh manfaat daripada permintaan yang dipacu pelaburan.

Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan sudah pasti akan menjadi tumpuan dalam Bajet 2015 dan kerajaan dijangkakan memberi maklumat yang lebih jelas mengenai pelaksanaan sistem percukaian baharu itu dan klasifikasi bekalan sama ada dikenakan cukai atau kadar sifar. – Bernama

foto/sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");