Membawang Hari Ini

Hanez sedih terus dihukum

Tidak ada seorang pun manusia yang dilahirkan sempurna di dunia ini kerana kita memang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Begitu juga pelakon jelita yang dikenali menerusi drama rantaian Love You Mr Arrogant di TV3, Hanez Suraya Abd Aziz, 28.

Gara-gara kontroversinya dengan bekas kekasih, Romie Razin Adilha Abd Jais, 34, yang mendapat liputan meluas di akhbar sebelum ini, Hanez terpaksa menanggung padah kerana kesilapannya sendiri. Bukan saja dirinya dibenci peminat, kontroversi itu turut menjejaskan periuk nasinya dalam bidang seni tempatan.

Walaupun sudah memohon maaf sebelum ini, rayuannya supaya diberi ruang dalam bidang lakonan juga seolah-olah tidak diendahkan pihak stesen TV di luar sana. Malah, sudah hampir setahun dia tidak menerima tawaran berlakon ataupun diberi kepercayaan sebagai duta produk kecantikan.

Terbaru, namanya disingkirkan daripada produksi telefilem Cikgu Timah Sekolah Bandar yang diterajui aktres Nora Danish dan tempatnya turut digantikan pelakon lain, sedangkan Hanez sudahpun menjayakan drama berkenaan selama sehari di lokasi penggambaran.

Barangkali sudah kering air matanya menangisi apa yang menimpa hidupnya sekarang. Namun, Hanez percaya, setiap kejadian yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

“Saya memang sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Kenapa saya dihukum sebegitu rupa sedangkan ia bukan berpunca daripada saya seorang? Saya berharap orang tidak dengar daripada sebelah pihak saja kerana kesannya sangat buruk, sekali gus menutup periuk nasi saya dalam bidang seni,” katanya dengan nada sedih.

Bagaimanapun, Hanez berasa sangat terharu kerana masih ada rakan artis yang simpati dengannya seperti aktres Nora Danish yang berani tampil ke depan untuk memberi kenyataan kepada pihak media apabila mengetahui namanya disingkirkan pihak produksi telefilem berkenaan.

“Ketika semua orang menjauhkan diri kerana bimbang terkena tempias kontroversi yang melanda, Nora pula berani untuk mempertahankan saya. Kami cuma kenal sebagai rakan artis tetapi dia sanggup memberi kenyataan supaya saya diberi peluang kedua.

“Kini, barulah saya kenal siapa kawan dan siapa lawan. Bagi saya, rakan artis seperti Noralah yang saya patut kenal rapat dalam bidang seni kerana dia berani ke depan apabila rakan artis lain ditimpa ujian,” katanya.

Serik jaja kisah cinta

Jika dulu dia cukup terbuka berkongsi kisah cintanya dengan peminat, kini tidak lagi. Menurut Hanez, dia akur dengan kesilapan yang dilakukannya dulu.

“Saya akui lantang bercakap dulu, tapi bukannya angkuh sebaliknya saya jujur dalam hubungan yang terjalin itu. Tidak sangka pula kejujuran saya itu akhirnya membawa padah pada diri sendiri.

“Sepanjang tempoh berdiam diri, saya banyak muhasabah diri dan reda dengan ujian Allah ini. Sepanjang sedekad berkecimpung dalam bidang seni, inilah ujian yang paling hebat dalam hidup, sekali gus menguji ketabahan diri,” katanya.

Namun, Hanez lebih suka melihat dari sudut yang positif. Baginya, inilah masanya dia mengeratkan hubungan dengan keluarga yang turut memberi kekuatan kepadanya selama ini.

“Terus terang, saya sudah serik untuk berkongsi kisah cinta dengan peminat selepas apa yang berlaku ini,” katanya.

Ditanya dakwaan yang dirinya masih berhubung dengan Romi, kata Hanez, dia enggan mengulas lanjut.

“Apa yang boleh diberitahu, hubungan kami sudah putus dan tidak perlulah ia diungkit lagi. Kalau kami berjumpa pun hanya atas dasar kerja dan tidak lebih daripada itu. Soal jodoh pula, saya hanya serahkan pada ketentuan Allah,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");