Perak Hari Ini

Leka Curi Radio Kereta, Tidak Sedar Dikepung Orang Ramai

IPOH – Gara-gara sedang leka dengan ‘aktivitinya’ mencuri set radio kereta, seorang lelaki tidak menyedari perbuatannya diperhatikan orang yang lalu lalang.

Akibatnya, dia dikepung oleh orang awam ketika melakukan perbuatan itu di tepi Jalan Raja Ashman Shah berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, suspek berusia 34 tahun berjaya ditahan oleh anggota polis peronda yang berada di lokasi kejadian setelah menerima maklumat orang awam pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan sedang asyik membuka set radio kereta terbabit tanpa menyedari orang ramai melihatnya.

“Kelakuan suspek telah menarik perhatian ramai menyebabkan dia tidak dapat melarikan diri dari kawasan kejadian tambahan, anggota peronda telah berada di lokasi berkenaan.

“Suspek mendakwa kenderaan berkenaan tidak dikunci menyebabkan dia mudah masuk berkenaan sebelum pemilik berkenaan membuat laporan polis di sini,” katanya di sini selepas Perhimpunan Bulanan

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang 2013 kepada 112 pegawai dan anggota di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang didapati positif dadah itu juga mengakui terlibat banyak kes sekitar Sungai Senam dan Pekan Baharu.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau dan tujuh daripadanya adalah kes pecah kereta.

“Suspek direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri,” katanya.

Sementara itu, Chang Keong berkata, pihaknya sedang menjalankan latihan skim gempuran sebagai persediaan apabila berlakunya kejadian kebakaran dan amuk.

Katanya, skim latihan terbabit akan dilaksanakan di semua 24 balai dalam daerah itu.

“Latihan itu dijalankan dari semasa ke semasa sebagai langkah persediaan dan kesiap siagaan anggota balai untuk menghadapi sebarang kemungkinan seperti mana yang berlaku di Balai Manjoi yang didatangi suspek bersenjatakan parang yang dipercayai menghidapi masalah mental.

“Latihan ini dijalankan selama tiga hari dan enam balai antaranya Balai Manjoi, Balai Pasir Puteh, Tambun sudah melaksanakan latihan berkenaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");