Berita Hari Ini

Platform hala tuju negara

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, Perhimpunan Agung Umno terus menjadi platform yang sangat signifikan untuk hala tuju masa depan negara ini.

Perdana Menteri berkata, pengisian dalam perhimpunan itu bukan sahaja penting untuk anggota Umno, malah kepada orang Melayu, Bumiputera dan negara keseluruhannya.

“Oleh itu liputan media massa, analisis media massa dan apa juga tafsiran dalam perhimpunan ini penting kepada pemikiran rakyat untuk memahami apa sebenarnya hasrat Umno,” kata Presiden Umno itu ketika ditemu bual Astro Awani semasa melawat petugas media yang membuat liputan Perhimpunan Agung Umno 2014.

Sebanyak 1,452 petugas media dari 106 akhbar dan agensi berita dalam dan luar negara membuat liputan sepanjang perjalanan perhimpunan itu.

Kelmarin, ketika menyampaikan ucapan dasar presiden yang turut disiarkan di beberapa saluran televisyen tempatan, Najib turut mengumumkan Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan memasukkan dua peruntukan khas bagi melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Majlis perasmian perhimpunan itu semalam turut dihadiri dua bekas Perdana Menteri – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, menteri Kabinet serta diplomat luar negara.

Dalam kunjungan ke pusat operasi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Najib yang disambut Anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, melahirkan rasa puas hati dengan liputan diberikan media massa sepanjang perhimpunan.

“Liputan kali ini lebih meluas lagi dan dapat memberi perspektif yang lebih tepat sebab media sekarang diberi kemudahan dan aplikasi teknologi terkini. Jadi kemampuan media membuat laporan yang lebih tepat dan pantas nampaknya lebih menyerlah lagi kali ini.

“Saya percaya dengan penggunaan teknologi yang lebih canggih lagi pada masa akan datang, tentu sekali liputan kita bertambah baik dan pantas,” katanya dalam temu bual bersama RTM.

Najib juga sempat meluangkan masa bertemu semua pengamal media dan dalam kunjungan ke pusat operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), beliau disambut Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Datuk Zakaria Abd Wahab.

Terdahulu, Najib melancarkan penubuhan Sekretariat Mahasiswi Nasional (Swinas), sebuah kelab di bawah Pergerakan Puteri Umno yang bertujuan melahirkan pemimpin muda wanita dalam kalangan mahasiswi.

Beliau melancarkan buku bertajuk ‘Politik Islam dan Melayu’ hasil karya Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Buku setebal 310 muka surat itu menghimpunkan tulisan Asyraf Wajdi dalam media massa perdana yang membincangkan isu berkaitan isu penyatuan dan perpaduan politik Melayu, konsep Wasatiyyah dan Maqasid Syariah (objektif undang-undang Islam). – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");