Jenayah

Sorok Mayat Bayi Bawah Telekung

LEDANG : Masjid Bandar Tangkak, di sini, gempar apabila mayat bayi perempuan yang dibungkus dengan kain batik ditemui dalam almari di ruang solat wanita masjid berkenaan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mayat bayi malang itu yang dipercayai dilahirkan kurang daripada tujuh hari, dijumpai seorang pekerja am wanita dikenali sebagai Nisha, 20an, ketika mengemas telekung dalam almari berkenaan.

Noja masjid, Othman Mahabat, berkata, Nisha memanggilnya mengatakan menjumpai satu bungkusan pelik di bawah timbunan telekung di bahagian bawah almari.

Menurutnya, dia segera ke ruang solat wanita dan terkejut mendapati bungkusan itu adalah mayat bayi perempuan.

“Pada mulanya saya berasa tidak sedap hati dan memberanikan diri membuka bungkusan kain itu lalu ternampak kaki bayi.

“Kemudian saya buka keseluruhan bungkusan dan mendapati mayat bayi perempuan yang cukup sifat bersama kesan potongan tali pusat yang sudah kering,” katanya.

Menurutnya, dia meminta Nisha terus berada di ruang tersebut sementara dia ke pejabat agama terletak di hadapan masjid untuk memaklumkan penemuan bayi berkenaan kepada kakitangan pejabat tersebut.

Katanya, dia sedih melihat mayat bayi itu dan percaya ia ditinggalkan antara jam 7 hingga 8 pagi semalam kerana setiap malam selepas solat Isyak, masjid dikunci dan dibuka semula waktu Subuh atas faktor keselamatan.

Katanya, insiden tersebut adalah pengalaman pertamanya sejak lebih 30 tahun bekerja sebagai noja masjid.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 kanun keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pihak polis sedang giat mengesan ibu bapa bayi malang itu termasuk membuat pengecaman menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di masjid berkenaan.

-sinarharian-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");