Berita Hari Ini

Tawar skim latihan

Shah Alam: Kerajaan Persekutuan akan memperkenalkan skim latihan kemahiran terbuka kepada semua pelajar yang mengikuti pengajian di Maahad Tahfiz di seluruh negara mulai tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, skim latihan yang mendapat kerjasama Kolej Komuniti dan Pusat GiatMARA itu adalah satu usaha dalam memperkasa institusi pendidikan keagamaan itu.

Katanya, kerajaan peka terhadap sebilangan pelajar tahfiz yang mempunyai latar belakang pendidikan yang kurang memuaskan, namun mempunyai potensi dalam bidang kemahiran tertentu.

“Menerusi skim latihan kemahiran ini, tenaga pengajar daripada dua institusi kemahiran ini akan masuk ke sekolah tahfiz dan mengajar pelbagai ilmu kemahiran berdasarkan minat mereka.

“Sekurang-kurangnya, mereka mempunyai kemahiran yang boleh digunakan untuk mencari pekerjaan selepas mereka tamat pengajian tetapi tidak dapat menyambung pelajaran di mana-mana institusi pengajian tinggi,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sebelum itu Noh menyampaikan bantuan kewangan pembangunan kepada 126 Sekolah Agama Rakyat (SAR) Tahfiz di negeri itu membabitkan jumlah sumbangan sebanyak RM4.2 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh berkata, lima sekolah menengah lagi bakal menerapkan konsep sekolah tahfiz Ulul-Albab termasuk sebuah sekolah di negeri itu pada tahun depan menjadikan jumlah keseluruhan 11 sekolah yang menggunakan konsep sedemikian di seluruh negara.

Sementara itu, ketika mengulas lanjut mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2014 Noh berkata, beberapa usul sudah dipersetujui UMNO Selangor untuk dibentangkan ketika perhimpunan yang bakal berlangsung minggu depan.

“Ucapan dasar akan disampaikan oleh Ketua Penerangan UMNO Selangor Datuk Zein Isma Ismail yang menyentuh mengenai masalah rakyat di bandar dan langkah yang boleh diambil dalam usaha menangani masalah ini.

“Ketua Biro Agama UMNO Selangor Datuk Ismail Kijo pula akan menyentuh berhubung isu undang-undang kerajaan negeri dan juga Persekutuan serta kuasa negeri melalui enakmen undang-undang syariah,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");