Berita Hari Ini

Teruja Hingga Tertinggal Anak

KANGAR : Kerana begitu teruja sepasang suami isteri yang mahu mengambil keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anak sulung tidak perasaan anak mereka tiada di dalam kereta ketika menuju ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khoon Aik, di sini, semalam.

Ini menyebabkan pasangan Azizul Kassim, 39, dan isterinya Suzainiza Md Salim, 36, terpaksa berpatah balik ke rumah sejauh satu kilometer untuk mengambil anak mereka, Nur Aisyah Adriana, 12.

Nur Aisyah menerima keputusan cemerlang apabila memperoleh keputusan 7A dalam UPSR yang diumumkan, semalam.

Anak sulung daripada empat beradik itu muncul satu-satunya murid Melayu dalam kalangan 14 murid di sekolah itu yang mendapat semua A dalam semua mata pelajaran diambil.

Ketika ditemui, Nur Aisyah yang bersekolah aliran Cina sejak dari prasekolah berkata, dia tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang seperti itu.

“Saya bimbang dengan subjek Bahasa Cina (Pemahaman) kerana mendapat B ketika ujian percubaan dulu.

“Menjelang UPSR, saya perbanyakkan ulang kaji secara berkumpulan selama empat jam pada Ahad dan mengikuti tuisyen bagi mengatasi kelemahan dalam setiap subjek,” katanya.

Azizul berkata, mereka menghantar Nur Aisyah ke sekolah aliran Cina kerana anak mereka minat mempelajari bahasa Cina.

“Seawal tahun satu lagi dia boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan lancar dan prestasinya selepas memasuki tahun empat hingga enam, keputusan peperiksaannya selalu baik,” katanya.

Secara keseluruhannya, peratus kelulusan pelajar yang mendapat pencapaian baik atau minimum gred C dalam UPSR di negeri ini meningkat 1.67 peratus iaitu daripada 62.29 peratus pada 2013 kepada 63.96 peratus tahun ini.

Pengarah Pendidikan negeri Dun Kasa berkata, peratus calon yang mendapat cemerlang iaitu semua A menurun 1.81 peratus.

“Daripada 4,029 calon yang menduduki UPSR, 291 atau 7.22 peratus daripadanya mendapat semua A dalam semua subjek yang diambil.

“Tahun lalu, peratus cemerlang semua A yang dicatatkan adalah 9.03 peratus,” katanya.
-hmetro-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");