Membawang Hari Ini

Anuar ada misi besar

Penghibur Anuar Zain mengakui menyimpan hasrat untuk membuka pusat dialisis selepas dia membabitkan diri dalam majlis amal yang dianjurkan oleh Institut Jantung Negara (IJN).

Melihat rakan serta keluarga terdekat meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan, Anuar berharap impiannya itu terlaksana bagi membantu pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan.

“Jika ada rezeki saya ingin membuka pusat dialisis sendiri kerana saya pernah melalui pengalaman di mana keluarga serta rakan rapat ada yang meninggal dunia sementara menanti giliran mereka untuk mendapatkan rawatan.

“Tidak dinafikan, pesakit buah pinggang menunggu untuk satu tempoh yang lama sebelum mendapatkan rawatan kerana kekurangan pusat dialisis sebelum ini. Namun kini peluang untuk menjalani rawatan lebih banyak untuk masyarakat,” katanya ketika ditemui di showcase Sempurnakan Aku di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, malam Jumaat yang lalu.

Pada malam showcase berkenaan, penyanyi yang popular dengan lagu Sedetik Lebih itu turut melahirkan rasa terujanya kerana makan malam amal berkenaan berjaya meraih RM863,300 hasil sumbangan 32 badan korporat.

Majlis yang dianjurkan oleh IJN itu bagi mengutip dana meringankan beban kumpulan sokongan Paediatric Congenital Heart Centre (PCHC).

“Dana yang terkumpul pada malam ini adalah kerja keras semua pihak terutamanya IJN sendiri. Dalam masa yang sama ia untuk membuka mata orang ramai mengenai kewujudan kumpulan sokongan ini. Orang ramai bukan saja boleh mendermakan wang tetapi juga sokongan moral kepada pesakit,” katanya.

Sebanyak 12 lagu dipersembahkan pada majlis yang berlangsung hampir dua jam itu. Lebih 700 tetamu terhibur dengan lagu-lagu popular Anuar seperti,Perpisahan, Keabadian Cinta, Sempurnakan Aku, Sedetik Lebih, Ajari Aku dan Bila Resah.

Dalam pada itu, Anuar turut meluangkan masa untuk menyanyi sambil bergambar bersama peminatnya di atas pentas dan bersama tetamu di meja makan.

Terdahulu tetamu disajikan dengan hidangan makan malam di samping persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan.

Majlis amal yang diacarakan oleh Adibah Noor itu turut diserikan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Beberapa rakan artis turut memeriahkan majlis antaranya Misha Omar, Jaclyn Victor dan Salamiah Hassan.

Berkongsi perkembangan kariernya, selain sibuk menyanyi di majlis amal dan korporat, adik kepada penyanyi Ziana Zain ini turut sibuk mengumpul material untuk album terbarunya.

Malah dia tiada masalah jika pihak IJN sudi untuk bekerjasama lagi pada projek amal akan datang.

“Sudah lima lagu berjaya disiapkan untuk album terbaru ini. Namun, ada beberapa lagi perkara yang belum memuaskan hati saya justeru biarlah ia disimpan dulu.

“Saya juga baru pulang dari Jakarta bagi mendapat sebuah lagu ciptaan komposer di sana dan mereka adalah daripada kenalan juga.
“Diharap dapatlah satu atau dua lagu hasil ciptaan komposer Indonesia. Saya mahukan kerjasama dari dua negara kerana itulah memilih komposer Malaysia dan Indonesia untuk album terbaru ini,” katanya.

Selain itu, Anuar juga bakal mengadakan beberapa projek persembahan di Singapura namun segala-galanya masih lagi dalam perbincangan.
“Segala-galanya masih dibincangkan lagi, insya-Allah jika tiada halangan semuanya akan saya beritahu kelak.

“Diharap peminat semua bersabar dan saya yakin ini adalah sebuah projek istimewa serta album ini adalah hadiah buat semua peminat setia saya,” katanya lagi.

Mahu peminat terus mengingati dirinya, Anuar akan tetap mengekalkan tajuk album terbarunya dengan nama Anuar Zain.
“Saya tidak mahu peminat pening dan keliru, cukuplah dengan nama sendiri Anuar Zain supaya ia terus melekat di hati peminat,” ujarnya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");