Jenayah

Banjir terburuk dalam 40 tahun

Hulu Selangor: “Ini adalah banjir terburuk kami alami sejak lebih 40 tahun lalu,” kata mangsa banjir, Khairul Zaki Abdul Ghapor, 48, yang mendakwa rumahnya pernah ditenggelami banjir sehingga paras bumbung pada tahun 1973.

Dalam bencana banjir terbaru berlaku jam 8 malam kelmarin, rumahnya terletak di Kampung Masjid di sini, ditenggelami banjir sedalam hampir satu meter.

Menurutnya, banjir itu berlaku terlalu pantas hinggakan hampir semua penduduk kampung tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah mereka.

“Saya bernasib baik kerana cuma bahagian dapur sahaja dinaiki air manakala barangan penting lain sempat dialihkan ke ruang tamu rumah.

“Hampir setiap tahun berlaku banjir kecil, namun tidaklah seteruk seperti kali ini,” katanya.

Katanya, air yang naik di sekitar kawasan rumahnya itu masih belum surut sehingga petang semalam.

Tinjauan Harian Metro di kampung itu mendapati 15 rumah dinaiki air dan semua penduduk dipindahkan secara berperingkat sejak malam kelmarin dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Katanya, dia bersama isteri dan lima anaknya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan banjir di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Geo Kosmo, Kampung Gesir Tengah di sini, jam 2 pagi semalam.

Menurutnya, jalan lama menghubungkan kampungnya ke Tanjung Malim juga turut terputus ekoran air naik mendadak selepas hujan berlaku lebih 10 jam.

Sementara itu, pesara polis Ismail Ahmad, 63, berkata, kejadian banjir itu pengalaman pertamanya sejak menetap di Kampung Serigala hampir dua tahun lalu.

“Pagar di luar rumah runtuh dilanggar kayu yang dihayutkan banjir. Saya anggarkan kerugian lebih RM100,000 termasuk sebuah van yang gagal diselamatkan,” katanya.

Seorang lagi mangsa Mohamed Lias Abdullah Sani, 58, berkata, mereka sekeluarga hanya sempat membawa beberapa helai pakaian dan dokumen pengenalan diri.

“Air memasuki rumah saya sehingga satu meter menyebabkan barangan elektrik tidak dapat diselamatkan termasuk beberapa alatan mesin untuk berkebun,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");