Jenayah

Dalang bekas orang dalam

Jitra: Kegiatan licik dua lelaki mencuri bateri milik sebuah syarikat telekomunikasi yang ditempatkan di beberapa lokasi di negeri ini dan Perlis sejak setahun lalu terbongkar apabila mereka ditahan ketika memunggah barangan berkenaan di sebuah pencawang Bukit Tinggi, Kepala Batas, di sini.

Kejadian itu disedari kakitangan syarikat telekomunikasi terbabit yang melakukan rondaan di kawasan itu jam 5.45 petang, Jumaat lalu apabila melihat kelibat dua lelaki terbabit di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menghubungi polis.

Berikutan itu, polis mengepung kawasan berkenaan ketika kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun itu memuatkan lapan unit bateri jenis MSB 12V-200AH ke dalam sebuah kereta Perodua Myvi menyebabkan mereka terkejut lalu ditahan untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bekas kakitangan syarikat telekomunikasi terbabit yang dipercayai sudah berhenti kerja sejak setahun lalu.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan itu di Arau dan Kangar di Perlis selain tiga daerah di negeri ini termasuk Jitra, Alor Setar dan Sik.

“Kami percaya kedua-dua suspek dipercayai menjual bateri berkenaan untuk mendapatkan wang dengan mudah kerana tidak bekerja.

“Semua barang yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bersama suspek untuk tindakan lanjut dan mereka ditahan untuk siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini, semalam.

Abd Rahim berkata, pihaknya percaya kedua-dua suspek menjual semua bateri berharga kira-kira RM6,600 itu di lokasi tertentu, dan mereka juga mahir dalam melakukan kegiatan berkenaan.

“Kami merampas mesin canai, mesin gerudi, pelbagai jenis kunci dan peralatan pecah rumah yang dibawa suspek.

“Seorang daripada suspek mempunyai kes ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan saringan awal ujian air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah jenis opiate,” katanya memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");