Berita Hari Ini

Kanak-kanak Permata Upaya Fikir Satu Peringkat

KUALA LUMPUR : Kanak-kanak yang menerima pendidikan awal di Program Permata Negara (Permata) didapati menunjukkan keupayaan berfikir lebih ke hadapan melebihi satu peringkat usia, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ia berdasarkan kajian yang dilakukan Permata bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Program Permata Negara dengan kerjasama UPSI telah menjalankan tiga kali kajian keberkesanan pelaksanaan program Permata untuk menilai keberkesanan program ini.

“Berdasarkan kajian tersebut majoriti kanak-kanak yang mengikuti program Permata telah menunjukkan keupayaan melebihi satu tahun usia mereka, iaitu jika mereka berusia empat tahun, keupayaan dan pemikiran mereka adalah seperti berusia lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Rohani Abdullah pada persidangan itu berhubung kejayaan yang dicapai kanak-kanak di bawah program Permata sejak penubuhannya.

Shahidan berkata program Permata juga turut menjalankan ujian kepintaran kanak-kanak Permata dan mendapati kanak-kanak itu juga mempunyai tahap kepintaran yang baik dan membuktikan keberkesanan pembelajaran di Permata.

Program Permata Negara yang diasaskan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ditubuhkan sejak 2007, merupakan program asuhan dan didikan awal kanak-kanak dengan konsep “anak permata negara’.

Kurikulum Permata dibentuk khusus bersesuaian dengan keperluan pembangunan intelek dan fizikal kanak-kanak di bawah usia empat tahun melalui pendekatan belajar sambil bermain.

-sinarharian-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");