Jenayah

Mat rempit cemari Dataran Merdeka

Kuala Lumpur: Bahaya dan berisiko maut. Begitu gambaran tindakan tidak bertanggungjawab segelintir mat rempit yang seolah-olah sengaja membuat onar dan mempamerkan ‘kehebatan’ di pusat bandar raya ini ketika cuti hujung minggu.

Mereka dilihat olah-olah sengaja menunggang motosikal secara melulu serta tidak mematuhi peraturan jalan raya sehingga membahayakan pengguna lain terutama pejalan kaki.

Tinjauan Metro Ahad mendapati ratusan penunggang motosikal akan berkumpul di sekitar Dataran Merdeka bermula kira-kira jam 5.30 petang selain turut dipenuhi kenderaan lain termasuk bas pelancong.

Suasana yang agak terkawal pada mulanya itu bagaimanapun bertukar ibarat pesta dengan deruan kuat bunyi enjin dan ekzos motosikal mat rempit yang mula bergerak secara berkumpulan me- ngelilingi beberapa jalan utama di kawasan berdekatan termasuk Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail.

Kebimbangan timbul apabila mereka bukan hanya melanggar lampu isyarat dan ‘menyelit’ di celahan kenderaan lain, malah ada daripada mereka sengaja menunggang secara berbahaya seolah-olah mahu berlumba sesama sendiri tanpa memikirkan keselamatan orang awam yang turut menggunakan laluan di ibu kota.

Lebih mengejutkan apabila golongan berhati ‘kering’ itu turut tidak menyifatkan cuaca sebagai penghalang kerana sanggup datang semula ke Dataran Merdeka selepas hujan reda semata-mata mahu memuaskan keinginan mereka tanpa sebarang hala tuju kecuali menonjolkan aksi masing-masing atas jalan raya.

Pemerhatian mendapati hari Ahad menjadi pilihan utama mat rempit berbanding Sabtu dan mereka termasuk si ‘penonton’ kebiasaannya akan bersurai menjelang jam 11 malam.

Kakitangan swasta, Iffan Zaffran Hamdani, 25, berkata dia sebagai pengguna jalan raya menyedari keadaan itu sejak kebelakangan ini apabila kawasan pusat bandar yang sentiasa dibanjiri pengunjung untuk membeli belah dan bersiar-siar turut dipenuhi mat rempit.

Menurutnya, tidak salah golongan itu menghabiskan masa cuti mereka, namun ia perlu dilakukan secara berhemah dan bersopan selain menghormati pengguna lain yang turut menggunakan laluan disediakan terutama pejalan kaki wanita serta kanak-kanak.

“Golongan rempit ini didapati bukan hanya sengaja membuat bising dengan membunyikan enjin dan ekzos yang kuat, malah turut menunggang secara melulu sehingga mendatangkan ketakutan kepada pemandu kereta seperti saya sekiranya terlanggar mereka hingga menyebabkan berlaku kemalangan teruk.

“Cermin sisi kereta dipandu saya turut pernah mengalami kerosakan kerana dilanggar mereka yang sepatutnya tidak bertindak mencelah dalam keadaan lalu lintas sesak,” katanya.

Kata Iffan, bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku terutama membabitkan keselamatan orang awam, dia berharap pihak berkaitan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mat rempit seumpama itu.

Bagi suri rumah, Rosiah Mahusin, 48, dia pernah nyaris dilanggar golongan itu ketika melintas jalan berhampiran Masjid Jamek (Kuala Lumpur) sambil memimpin tangan cucu lelakinya yang berusia enam tahun.

“Waktu itu, saya baru selesai membeli-belah dan berjalan kaki menuju ke kawasan tempat letak kereta berdekatan. Namun, sewaktu melintas jalan dengan lampu isyarat hijau pejalan kaki dinyalakan, saya terkejut apabila beberapa motosikal menunggang dengan laju walaupun semua kenderaan lain berhenti.

“Mujur saya sempat menarik cucu saya ke tepi jalan hingga menyebabkan semua barangan yang dibeli jatuh bertaburan dan kemudian dibantu beberapa orang awam,” katanya yang mengalami cedera ringan di siku.

Menurutnya, perbuatan seumpama itu mungkin dianggap biasa bagi segelintir pihak terutama warga kota, namun ia membabitkan keselamatan dan nyawa seseorang apatah lagi berlaku di lokasi tumpuan awam.

Baru-baru ini, seorang mat rempit berusia 18 tahun melanggar seorang lelaki berusia 58 tahun ketika mangsa melintas jalan di Jalan Raja Laut dalam usahanya serta rakan kumpulannya melepaskan diri selepas menyedari polis mengadakan sekatan jalan raya di sekitar kawasan itu.

Mangsa yang cedera di lutut dan betis itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");