Jenayah

Maut Dibelasah Mengendap Isteri Orang

KUALA TERENGGANU : Seorang pemuda maut dibelasah lima lelaki termasuk suami wanita terbabit selepas dipercayai mengintai isteri orang, dalam satu kejadian di Kampung Bujar, Air Jernih, Chukai, Kemaman, Ahad lalu.

Mangsa berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kemaman akibat cedera parah di beberapa bahagian badan, selain pendarahan di hidung dan telinga.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital kira-kira jam 12.01 tengah malam kelmarin yang memaklumkan ada menerima mayat seorang lelaki.

Menurutnya, mangsa pada mulanya dibawa ke Pusat Kesihatan Kemasik kira-kira jam 9 malam, namun dirujuk ke hospital berkenaan kerana mengalami kecederaan di dada, tangan dan dahi, selain pendarahan di hidung serta telinga.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa dibelasah lima lelaki selepas dipercayai mengintai isteri kepada seorang daripada suspek berusia 20-an melalui tingkap sebuah rumah yang terletak di kawasan dikelilingi kelapa sawit.

“Suami wanita terbabit yang dipercayai gagal mengawal marah selepas mengetahui perbuatan mangsa, berjaya memerangkap lelaki terbabit bersama empat rakannya sebelum membelasah mangsa kira-kira jam 8.30 malam.

“Bagaimanapun, dua suspek terlibat mengambil keputusan menghantar mangsa ke Pusat Kesihatan Kemasik selepas mangsa pengsan akibat dipukul mereka,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, susulan kejadian tersebut, polis berjaya menahan semua suspek berusia antara 22 hingga 30 tahun di sekitar Kemaman, kira-kira jam 2 petang semalam untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-sinarharian-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");