Berita Hari Ini

Pengguna Baca Berita Terkini Guna Telefon Pintar

KUALA LUMPUR – Pengguna telefon pintar di Malaysia lebih gemar membaca berita terkini disusuli dengan berita tempatan/nasional dan antarabangsa menggunakan peranti itu.

Yahoo dalam kenyataan hari ini berkata, kaji selidik mengenai telefon mudah alih oleh Yahoo Mindshare di Malaysia mendapati pengguna wanita lebih cenderung terhadap kandungan mengenai pelancongan, kisah popular dan fesyen.

“Pengguna lelaki pula cenderung kepada berita sukan dan perniagaan,” kata kenyataan itu.

Penggunaan komunikasi dan kandungan diikuti oleh hiburan dan permainan adalah aktiviti harian yang sentiasa dilakukan dalam kalangan pengguna telefon pintar dan tablet di Malaysia.

Kaji selidik itu mendapati 68 peratus pengguna Malaysia masing-masing menggunakan peranti mudah alih untuk saling berhubungan dan memenuhi tabiat waktu pagi; aktiviti masa lapang (66 peratus), memperoleh berita (63 peratus) dan mendapatkan maklumat di mana sahaja (57 peratus).

Kaji selidik itu juga mendapati penggunaan kandungan video sangat popular pada peranti mudah alih dengan kandungan video singkat dan padat berdurasi tiga hingga lima minit ditonton pada waktu pagi manakala kandungan video panjang menjadi pilihan pengguna pada lewat hari.

Semasa ‘waktu puncak’ dari 8 malam hingga 11 malam, pengguna didapati berhubung serta berbalas mesej atau berbual, bermain permainan, membaca kandungan dan melayari jaringan sosial.

Ketua Wawasan, India & Asia Tenggara Yahoo David Jeffs berkata: “Malaysia kini menyaksikan pertumbuhan yang pesat dalam penggunaan peranti mudah alih, dengan purata pengguna mempunyai lebih daripada satu peranti mudah alih dan memperuntuk kira-kira 6.5 jam sehari untuk menggunakan alat itu”.

Bagaimanapun, kaji selidik itu tidak menyatakan jumlah responden, sampel dan kaedah kajian. – sinar harian –

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");