Jenayah

Suami Gantung Diri

KLUANG : Seorang lelaki yang cemburu kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit bertindak menggantung diri selepas memotong pergelangan kaki dan tangan wanita berusia 44 tahun itu sehingga putus.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi di Taman Sri Suria di sini hari ini, lelaki berusia 47 tahun itu turut meminum sejenis racun sebelum menggantung diri di balkoni rumah dua tingkat milik mereka.

Difahamkan, pasangan tersebut terlebih dahulu bertengkar sebelum kemarahan lelaki terbabit memuncak dan mula bertindak memotong kaki dan tangan isterinya menggunakan pisau pemotong daging.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Roze Shaari berkata, isteri mangsa yang bekerja di sebuah hotel di Singapura kini berada dalam keadaan kritikal dan dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom untuk rawatan lanjut.

“Suami mangsa tidak bekerja kerana menjaga anak lelaki tunggal mereka berusia 10 tahun. Kanak-kanak itu sempat menghubungi bapa saudaranya bagi memaklumkan pertengkaran ibu bapanya.

“Sebaik bapa saudaranya tiba di tempat kejadian, dia mendapati adik perempuannya terbaring di tempat letak kenderaan, manakala adik iparnya tergantung di balkoni tingkat atas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Mohd. Roze, suami mangsa turut mencederakan isterinya di bahagian badan dengan menggunakan sebilah parang yang diambil berdekatan pagar kawasan rumah mereka.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut bermotifkan cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia terdengar pasangan suami isteri itu bertengkar sebelum mendengar suara kanak-kanak menjerit.

“Saya terkejut dengan kejadian itu dan terus memaklumkan kepada jiran sebelum pihak polis tiba beberapa minit kemudian,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");