Berita Hari Ini

Terpaksa Hidup Berjimat Cermat

GEMAS : Seorang isteri tabah menjaga suaminya yang terlantar sakit sejak lebih setahun lalu walaupun mereka tiga beranak hanya bergantung kepada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Khamisah Khamis, 47, berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa mengehadkan perbelanjaan harian berikutan suaminya, Muhammad Darus, 46, tidak boleh ditinggalkan seorang diri serta tidak mampu menguruskan diri sejak awal tahun lalu.

Disebabkan itu kata Khamisah, dia tidak dapat mencari pendapatan lain untuk keluarganya.

Katanya, dia juga terpaksa berjimat cermat bagi membeli keperluan lampin pakai buang serta susu buat suaminya.

“Akak terpaksa beri suami makan bubur kosong serta memberi susu khas yang bukan disyorkan oleh hospital kerana harganya jauh lebih murah. Rutin akak ini telah menyebabkan suami kurang zat sehingga berat badan suami dari 80 kilogram mendadak turun ke 39 kilogram.

“Bagaimanapun, akak tidak ada pilihan memandangkan hanya bergantuan pada bantuan itu sahaja. Akak juga mempunyai seorang anak (Muhammad Shahrul Nizam Muhammad, 15) yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Halacara Baru Londah, dekat sini, semalam.

Khamisah berkata, sebelum ini dia ada memohon bantuan bulanan dari Baitulmal bagi menampung perbelanjaan sekolah anaknya, namun permohonan itu tidak berjaya kerana suaminya telah menerima bantuan bulanan JKM.

Katanya, pada Mac lalu, suaminya ada menerima bantuan perubatan daripada Baitulmal bernilai RM1,500, namun ia digunakan untuk membeli mesin membuang kahak dan keperluan lampin serta susu suami.

“Mujur adik-beradik suami sering bertolak-ansur dan membantu kami sekeluarga untuk membeli makanan keperluan harian. Namun, akak tidak dapat memberi suami minum susu tujuh kali sehari, malah kadang-kala menggunakan plastik bagi menggantikan lampin pakai buang.

“Akak harap agar pihak Baitulmal dapat mempertimbangkan permohonan buat suami memandangkan akak sememangnya tidak boleh bekerja sejak suami terlantar sakit,” katanya lagi.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak mampu untuk menerima dugaan berkenaan lebih-lebih lagi suaminya sakit sekelip mata sahaja dan dipercayai hilang ingatan.

“Selain bekerja kampung, suami dia turut membantu adiknya menjual ikan di pasar tani dan pasar malam. Jadi, pada malam kejadian, dia baru selesai kerja menjual ikan dan singgah ke tandas berhampiran jalan lama, Bukit Putus di Seremban.

“Keesokan harinya, adik suami yang kebetulan mengisi minyak berhampiran jalan berkenaan ternampak abangnya dalam keadaan menyedihkan serta hilang ingatan. Terus abangnya di bawa pulang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kariah Kampung Londah, Abdul Ghani Mat Suhor berkata, pihaknya telah menguruskan permohonan Khamisah sejak penghujung tahun lepas dan permohonan bantuan perubatan tahunan telah diperoleh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");