Sukan Hari Ini

Woods belum cukup panas

Orlando, Amerika Syarikat: Tiger Woods mengatasi rasa mual, demam dan muntah sebelum mencatat tiga bawah par 69 pada kejohanan Cabaran Dunia Hero semalam, kejohanan pertamanya selepas berehat empat bulan kerana kecederaan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu melakukan birdie pada tiga lubang terakhir untuk melakar par 216 bagi 54 lubang di Isleworth, namun kekal di tangga tercorot dalam kalangan 18 pemain.

“Ia tidak mudah. Saya bertarung habis-habisan,” jelas Woods. “Saya gunakan setiap kudrat yang ada.”

Woods yang tidak bermain secara kompetitif sejak Kejohanan PGA AS, Ogos lalu akibat kecederaan belakang, muntah sejak lubang pertama lagi, membenam enam birdie dan tiga bogey sepanjang hari.

“Saya muntah beberapa jam,” kata Woods, menegaskan dia tidak berjaya menghadamkan makanan atau tidur lena, namun tidak berasa sakit dan tidak terfikir untuk menarik diri.

“Ia tidak terlalu bagus pada permulaannya, tapi saya masih mampu meneruskannya,” ujar Woods. “Demam sudah reda. Ketika bersaing saya mula berasa lebih baik.”

Woods yang memulakan aksi dengan 77 pada hari pertama, mencatat 70 hari berikutnya ketika demam.
“Saya tidak pernah berasa mual dan muntah sebelum ini. Saya tidak mempunyai kekuatan langsung. Saya agak lembap.”

Pemenang 14 kejuaraan utama yang memburu rekod karier 18 kejuaraan utama dimenangi Jack Nicklaus, hanya memukul bola selama sebulan dan kembali menukar corak hayunan kepada gaya ketika remajanya.

Woods berusia 39 tahun hujung bulan ini dan tiada pemain menang empat kejuaraan utama melepasi usia itu.

Pendahulu Jordan Spieth (gambar) merakam pusingan tanpa bogey 63 untuk mengumpul 20 bawah par 197, memecahkan rekod 54 lubang oleh Padraig Harrington pada 2002 di Sherwood dengan satu pukulan menerusi tolakan birdie jarak jauh pada lubang ke-18. – AFP

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");