Perak Hari Ini

Banjir: BAIDURI Teruskan Usaha Kumpul Sumbangan Kepada Mangsa Banjir

IPOH: Kesulitan dan kepayahan yang dialami oleh mangsa banjir di seluruh negara baru-baru ini sentiasa mendapat perhatian masyarakat dan dizahirkan menerusi sumbangan yang disalurkan melalui Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) yang mana mereka telah membuka pusat pengumpulan bagi tujuan tersebut.

Menurut Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli, semua pihak  berganding bahu bagi mengumpulkan sumbangan untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir tersebut.

“Saya bagi pihak BAIDURI mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada orang ramai dan semua pihak yang begitu prihatin menyahut panggilan BAIDURI untuk menyumbang sebarang sumbangan untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri Perak.

“Insyaallah dengan kerjasama daripada semua pihak, BAIDURI, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang prihatin dapat meringankan sedikit bebanan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir ini.

“Disamping apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan pihak lain, BIDURI dengan bantuan daripada pihak NGO ini juga turut terpanggil untuk menyampaikan bantuan ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Integrasi Gugusan Manjoi di kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, di sini, hari ini.

Kata beliau, BAIDURI akan menyelaraskan dan menyaring sumbangan tersebut bagi memastikan ianya sampai ke pihak yang benar-benar layak dan memerlukannya.

“Tugas BAIDURI adalah untuk menyusun dan menyaring barang-barang yang disumbangkan ini berpandukan kepada penyelarasan BAIDURI di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen dimana mereka yang akan membuat penyerahan kepada mangsa-mangsa.

“Proses saringan perlu dilakukan bagi memastikan hanya barangan yang masih elok dapat disumbangkan untuk keperluan mangsa banjir.

“Kerja-kerja saringan ini juga penting supaya apa yang disumbangkan atas nama BAIDURI itu adalah barang-barang yang masih elok meskipun ianya barangan terpakai atau yang memang beri manfaat serta diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir tersebut,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, pihak BAIDURI akan menumpukan kepada bantuan pasca banjir berikutan beliau tidak mahu sumbangan yang akan disampaikan itu tidak digunakan dengan sewajarnya.

“Seperti yang kita sedia maklum dan apa yang kita lihat persekitaran dan masalah mereka bukan lah kecil tetapi amat besar… jalan yang terbaik adalah bekerjasama antara semua pihak supaya penyampaian sumbangan ini dapat dilakukan dengan lebih tersusun dan berkesan.

“Jika sekarang kita pergi ke pusat-pusat pemindahan yang sedia ada, kita boleh lihat himpunan bantuan yang telah diberikan kepada mereka dimana ia menandakan masyarakat kita prihatin.

“Oleh sebab itu kita akan menumpukan kepada bantuan pasca banjir dimana kita akan berikan bantuan setelah mereka berada dirumah dan menyedari apa yang diperlukan oleh mereka,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, menurut Pengerusi Pertubuhan Intergrasi Gugusan Manjoi, Jaafar Uthman, bantuan yang diberikan hari ini merupakan sumbangan daripada penduduk Manjoi.

“Sumbangan hari ini adalah sebahagian sahaja daripada keseluruhan dimana barangan yang lain telahpun kita agih-agihkan kepada beberapa penempatan banjir di negeri Perak dan ada juga yang telah sumbangkan kepada mangsa banjir di Kelantan.

“Sumbangan kebanyakan daripada penduduk Manjoi kerana kita telah membuka pusat gerakan bermula pada 27 Disember tahun lepas untuk mengumpul bantuan bagi disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata lagi bahawa pusat pemindahan itu akan ditutup pada esok (Khamis).

Ujarnya, pihaknya ada menerima bantuan berbentuk kewangan dan ia akan digunakan untuk membeli barangan persekolahan untuk diberikan kepada mangsa banjir di negeri itu.

“Kami ada menerima sumbangan berbentuk kewangan dan kami akan kumpul sehingga hari terakhir bilik gerakan ini dibuka dimana hasilnya nanti kita akan belikan barangan persekolahan untuk diberikan kepada anak-anak mangsa yang terlibat dengan banjir itu nanti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");