Jenayah

Berbaju Melayu lepas gian

AYER KEROH – Seorang lelaki tidak sempat menyertai perarakan Maulidur Rasul apabila dia dicekup ketika singgah sebentar di sebuah ladang sawit untuk melepaskan gian.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi kelmarin, lelaki berusia 46 tahun itu yang lengkap berbaju Melayu dan bersampin dikatakan melencong sebentar ke ladang sawit di Sungai Udang kira-kira 500 meter dari jalan besar, ketika dalam perjalanan ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul di sebuah masjid di Paya Rumput di sini.

Ladang sawit berkenaan dipercayai menjadi lokasi penagih untuk mendapatkan bekalan dadah.

Bagaimanapun, lelaki itu tidak bernasib baik kerana secara kebetulan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melakukan serbuan menyebabkan dia ditangkap sama.

Pemangku Pengarah AADK negeri, Hasim Ab Jalil berkata, turut ditangkap seorang anggota komando dan tiga lelaki kurang upaya (OKU) dalam operasi bersepadu Ops Gasak diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri, Nor Azmi Sattar.

Difahamkan, kesemua mereka datang ke lokasi itu dengan menunggang motosikal termasuk ketiga-tiga lelaki OKU berkenaan.

“Kesemua mereka adalah antara 71 orang berusia 23 hingga 64 tahun ditahan dalam operasi selama 11 jam bermula jam 4 pagi di kawasan ladang yang turut mempunyai lima khemah kanvas dipercayai tempat melepaskan gian.

“Bagaimanapun, selepas ujian saringan urin dilakukan, hanya 70 orang didapati positif dadah meliputi 65 disyaki positif heroin dan bakinya methampetamine.

“Hasil ujian air kencing terhadap lelaki yang mahu ke Majlis Maulidur Rasul dan ketiga-tiga OKU terbabit disyaki positif dadah heroin,” katanya di Dewan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Hasim berkata, pihaknya tidak menemui barang salah ketika pemeriksaan badan dilakukan, namun merampas telah peralatan menghisap dadah.

“Peralatan menghisap dadah ditemui ketika pemeriksaan awal dan kami memusnahkannya dengan membakar di kawasan ladang tersebut.

“Pada masa yang sama, 67 motosikal suspek telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi besar-besaran yang pertama kali diadakan tahun ini, turut melibatkan 40 anggota AADK dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");