Sukan Hari Ini

Tak terjejas!

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) berada di landasan tepat untuk mencapai misi melahirkan pemain muda bertaraf dunia biarpun program dilancarkan tahun lalu itu terancam dengan tindakan beberapa jurulatih ‘angkat kaki’.

Beliau mengakui ada jurulatih yang tidak boleh mengadaptasi cara kejurulatihan baru diterapkan Pengarah Projek PPBN Lim Teong Kim, namun itu tidak bermakna mereka akan mengalah dan terpaksa kembali dengan cara ‘old school’.

“Ada segelintir jurulatih tidak boleh mengikut kehendak program itu. Mereka tidak mahu membuat laporan, enggan bergerak ke negeri-negeri lain. Tapi ini tak bermakna program ini ada masalah.

“Halangan kita adalah untuk mencari jurulatih yang faham dengan falsafah baru. Ramai jurulatih mengadu sebab kena buat kertas kerja tapi jurulatih moden memang kena ada rekod dan kita tahu apa yang berlaku. Kalau tak ada laporan macam mana Teong Kim dan jurulatih negeri nak tahu (perkembangan),” katanya selepas merasmikan Seminar Penyelarasan PPBN 2015 semalam.

Menurut Khairy, bagi mengatasi masalah kekurangan jurulatih ini beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat menyusun lebih banyak program pembangunan dan pentauliahan kepada jurulatih muda.

“Saya sudah minta FAM untuk memberi penambahan kursus pentauliahan di peringkat A dan B supaya dapat melahirkan jurulatih muda. Kita ada jurulatih berumur 30an dan 40an yang kita mahu segerakan pentauliahan mereka kerana ini generasi jurulatih yang kita mahukan,” jelasnya.

PPBN dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang Kuantan, April tahun lalu dengan misi untuk melihat lebih 10,000 remaja berusia tujuh hingga 17 tahun dilatih di seluruh negara serta melayakkan diri pada kejohanan Piala Remaja Dunia 2019.

Mengulas mengenai laporan media mengenai akademi itu yang menjadi lokasi program PPBN tidak diuruskan dengan baik, Khairy memaklumkan bahawa apa yang dinyatakan itu tidak tepat.

“Tiada pasukan dan pemain program ini berlatih di situ namun kami dalam proses penukaran kontraktor untuk membaik pulih padang itu,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");