Perak Hari Ini

DAP Biadap Terhadap Kerajaan Perak – Dr. Zambry

IPOH:Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menempelak DAP Perak yang menuduh beliau sebagai sombong, tidak ada perasaan dan tidak berhati perut hanya kerana dakwaan kononnya Kerajaan Perak menolak sumbangan RM100,000 daripada Kerajaan Selangor.

Sambil menyifatkan tuduhan-tuduhan itu sebagai sangat biadap, Dr Zambry berkata, parti itu cuba meraih politik murahan ketika rakyat mengalami kesulitan dan keresahan kerana banjir.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri tidak pernah menolak sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membantu rakyat di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali kerana mengesahkan bahawa sumbangan itu telah diterima oleh Kerajaan Negeri.

“Terima kasih kepada Azmin kerana membetulkan kenyataan yang tidak sewajarnya sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kayan, Manjung pada Jumaat.

Dr Zambry perkata, tuduhan yang dibuat Setiausaha Politik kepada Pengerusi DAP Perak, Chong Ze Min kepadanya adalah sangat kurang ajar dan cuba mengambil kesempatan ketika rakyat ditimpa kesulitan.

“Ini jenis ahli politik yang bankrap, dalam kepala mereka terlalu banyak politik, apa sahaja hendak dipolitikkan.

“Rakyat sedang susah, menderita, mereka tuduh saya sombong, tidak ada perasaan.

“Sudah dua minggu, kita berulang-alik dari Hulu Perak hingga ke Hilir Perak untuk meninjau keadaan banjir dan melihat masalah rakyat,” tegas beliau.

Dr Zambry berkata, tumpuan sekarang sepatutnya kepada usaha untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir, bukannya untuk mencari kepentingan politik murahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");