Sukan Hari Ini

Dulu disanjung, kini… Selamatkan Red Giant

2015, genap 10 tahun pasukan bola sepak Selangor melancarkan ‘Misi 33’ iaitu kempen merampas semula Piala Malaysia yang sudah tidak dimenangi sejak 2005.

Entah di mana silapnya, Misi 33 yang dilancarkan tahun demi tahun bagi mengembalikan imej pasukan yang sangat digeruni itu masih tidak kesampaian.

Dulu disanjung sebagai gergasi bola sepak tempatan namun kini pasukan itu mengharungi empat musim tanpa trofi malah kehilangan taring untuk meraih sebarang kejuaraan utama sejak kali terakhir menjulang trofi Liga Super lima tahun lalu.

Pernah mempunyai reputasi hebat dari sudut pengurusan, pemain dan penyokong fanatiknya, kini Red Giants sudah hilang sengat malah mula dijauhi peminat dan penyokong setia.

10 tahun gagal meletakkan kembali pasukan di atas landasan juara, peminat terus mengecam prestasi dan pengurusan FAS yang gagal memulihkan maruah merah kuning.

Tekanan terus menggunung apabila pasukan lain terus meningkat dan pasukan kendalian Mehmet Durokovic ini bukan lagi pasukan yang harus digeruni lagi.

Dulunya nama seperti Mokhtar Dahari dan Soh Chin Aun gah memimpin Selangor, pemain sedia ada sekarang gagal meneruskan kesinambungan kegemilangan Red Giants.

Dulu satu kemegahan pemain menyarung jersi merah kuning tetapi tidak sekarang apabila pasukan Selangor bukan lagi pilihan pasukan untuk diwakili.

Di manakah silapnya sehingga kemerosotan mendadak gergasi merah kuning yang masih tidak mampu dipulihkan setelah kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2005 di bawah kendalian Dollah Salleh menewaskan Perlis di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

FAS terus terima tekanan

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang satu ketika sangat dihormati kini diselubungi kontroversi dan tohmahan pelbagai pihak.

Bukan cerita baru, tekanan demi tekanan diberi kepada FAS dan terbaru peminat mahu orang nombor dua dalam kepimpinan FAS, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berundur setelah gagal membawa pembaharuan.

Ramai menuding jari dan membidas kegagalan FAS membawa pembaharuan dalam pasukan Selangor berharap dirombak di bawah Presiden FAS baru, Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor.

Bagi penyokong, kesabaran mereka sudah memuncak dan merasakan maruah pasukan kesayangan mereka dirobek dengan pelbagai isu dan kegagalan FAS yang menyumbang kepada kemerosotan merah kuning.

Kemuncak kemarahan ini sudah tidak mampu diselubungi lagi dengan pelbagai protes dan provokasi dilakukan bagi menyatakan ketidakpuasan hati kepada pengurusan FAS.

Banyak pelekat ditampal di papan tanda selain kain pemidang digantung di sekitar Lembah Klang menggesa rombakan dalam FAS.

Terbaru insiden menyimbah cat ke pejabat FAS di Kelana Jaya menceritakan seribu tanda tanya apakah tindakan itu satu protes atau di sebaliknya.

Malah pada tahun lalu juga penyokong Red Giants menyerbu skuad kendalian Mehmet Durokovic ketika mereka sedang melakukan latihan bagi meluahkan perasaan tidak puas hati dengan pencapaian pasukan.

Disusuli dengan tindakan FAS melepaskan penyerang Paulo Rangel yang mengubah laluannya ke Terengganu dan kehilangan S.Kunalan dan Farizal Marlias menyarung jersi Johor Darul Ta’azim dipertikaikan penyokong yang berasakan ketiga-tiga pemain itu penting kepada Red Giants.

Tindakan penyokong merah kuning yang membakar suar di Stadium Temerloh pada aksi suku akhir Piala Malaysia yang menyaksikan Selangor tersungkur kepada Felda United turut isyarat protes kepada FAS.

Terbaru, Kerajaan Selangor yang membayar RM2 juta tunggakan kepada FAS susulan masalah pengurusan kontrak baharu menjelaskan lagi kegagalan FAS seperti didakwa peminat.

Ini berikutan FAS dikesan menghadapi masalah berhubung pembayaran gaji kepada pasukan skuad Red Giants apabila pemain importnya dari Brazil, Paulo Rangel mendakwa gajinya tidak dibayar sejak dia menandatangani kontrak baharu bagaimanapun dinafikan oleh Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Persoalannya, apakah rentetan kontroversi dan terakhir serangan ke atas pejabat FAS di Kelana Jaya adalah isyarat kepada kemarahan penyokong dan peminat?

Atau terdapat cerita di sebaliknya di mana apakah terdapat pertelingkahan dalaman dalam FAS yang terus merugikan masa depan bola sepak Selangor.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");