Jenayah

Kantoi lena di rumah kongsi

Kulim: Seorang lelaki yang diburu polis Johor sejak 2009 ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah kongsi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Sungai Kob, dekat sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika nyenyak tidur dalam Ops Cantas khas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim bersama anggota Skuad Taktikal Khas 3 (STAGG) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, pada jam 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam kelmarin, pihaknya mengenal pasti seorang lelaki yang diburu polis Johor sejak 2009 berkaitan kes dadah dan menahannya untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah mengikut Seksyen 12(2)(1) Akta Dadah Berbahaya di Kampung Gajah, Kluang, Johor pada 2009.

“Kami belum mempunyai maklumat sejak bila suspek mula bersembunyi di rumah kongsi ini, namun kami percaya dia memilih tinggal bersama PATI di rumah kongsi berkenaan untuk mengelak daripada dikesan polis,” katanya pada sidang media di IPD Kulim di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya membuat pemeriksaan di 42 kawasan di sekitar daerah ini membabitkan rumah kongsi, tapak pembinaan dan kawasan perumahan.

“Kami menahan 36 PATI membabitkan 33 lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang wanita warga Myanmar.

“Selain itu, kami menahan 21 warga Myanmar dan tujuh warga Bangladesh yang semuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan.

“Selain itu, ada antara mereka yang memegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR),” katanya.

Abdullah berkata, Ops Cantas khas ini dijalankan selepas berlaku beberapa insiden membabitkan warga asing terutama warga Myanmar dalam kejadian jenayah bersiri sebelum ini.

“Ia juga bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan polis dalam menangani jenayah di negara ini,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");