Isu Panas

Kenapa hanya DAP saja boleh perjuangkan dasar partinya… tanya Nik Abduh

Tidur sebantal mimpi lain-lain… itu kisah dalam pakatan pembangkang selepas tamat tempoh bulan madu.
Macam-macam kisah dalam kelambu kini sudah boleh dibaca orang ramai… termasuk yang paling baru mengenai pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diperjuangkan DAP.

Menurut pemimpin PAS, pilihanraya PBT boleh menjurus kepada berlakunya perpecahan kaum.

Anggota Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata adalah tidak adil apabila DAP sahaja yang memperjuangkan dasar partinya itu, namun dalam masa sama menentang hasrat PAS untuk melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah II (Hudud) di Kelantan.

“Soal sekarang, ketika PAS mengambil sikap sama di Kelantan, mengapa PAS dikata mencabul kesepakatan dalam PR (Pakatan Rakyat),?

“Jika Pulau Pinang berjaya mengadakan pilihan raya PBT, adakah PAS akan menganggap ia mencabul PR.

“Boleh DAP terima kami di Kelantan jika begitu? Bertindak demokratik la bro…,” katanya dalam catatan terbaharu di laman sosial Facebook miliknya, Ahad.

Pakatan pembangkang adalah gabungan longgar yang dilakukan tanpa pendaftaran sebaliknya atas dasar hendak berkuasa di beberapa negeri yang dimenangi mereka.

Ketiga-tiga parti yang membentuk pakatan pembangkang, PAS, DAP dan PKR tidak mempunyai dasar bersama seperti BN.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata tindakan DAP yang memperjuangkan pilihan raya PBT boleh melebarkan jurang penguasaan ekonomi di antara penduduk bandar dengan desa sehingga boleh mengulangi rusuhan kaum 13 Mei.

Sementara itu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din berpandangan, pelaksanaan pilihan raya PBT tidak menyumbang ke arah usaha mewujudkan keharmonian politik di negara ini.

“Sebarang isu yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman akan mengundang padah.

“Kalau tidak segera, maka masa mendatang akan lebih mencabar kerana itulah isu pilihan raya PBT ini elok dihentikan segera,” katanya.

Haron turut mengingatkan DAP bahawa pandangan Abdul Hadi itu bukan bersifat peribadi kerana pelaksanaan pilihan raya PBT tidak dipersetujui oleh semua ahli PAS.

Beliau menambah, semua pihak termasuk DAP sepatutnya bersikap prihatin sebelum melakukan sebarang tindakan yang melibatkan kepentingan umum, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

“Lebih-lebih lagi apabila ditegur atau ditentang oleh rakan-rakan dalam pakatan pembangkang, maka sepatutnya diberi pertimbangan,” ujarnya.

Tokoh ulama berpengaruh dalam PAS itu juga meminta DAP tidak menyamakan isu pilihan raya PBT dengan isu hudud kerana ke­dua-duanya langsung tidak mempunyai kaitan.

“Hudud adalah teras perjuangan parti dan kerana itulah PAS diwujudkan sedangkan pilihan raya PBT ini apa bendanya, bukan perjuangan parti dan bukan teras DAP,” tegasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata pentadbiran PBT sekarang pun sudah dilakukan secara demokratik.

Ini kerana anggota majlis PBT sesebuah negeri dilantik oleh parti yang memegang tampuk pemerintahan negeri, katanya.-25/1/2015-agendadaily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");