Sukan Hari Ini

Laluan sukar Wei Feng di India

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Chong Wei Feng menempuh ujian berat bertemu pilihan utama, K Srikanth dari India pada suku akhir kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, hari ini.

Diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, pemain kelahiran Kedah itu mara selepas mudah menewaskan wakil tuan rumah, Arvind Bhat, 21-6, 21-11 di pusingan ketiga, semalam.

Terdahulu, Srikant yang juga pemain ranking empat dunia terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, 22-20, 20-22 dan 21-11 dalam satu lagi pertarungan pusingan ketiga.

Dalam pada itu, beregu wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama, semalam menundukkan beregu India, Parssa Naqvi dan Saruni Sharma pada pusingan kedua menerusi kemenangan 21-7 dan 21-10.

Turut mengikut jejak langkah mereka ke pusingan seterusnya adalah gandingan Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho serta pasangan Lim Yin Loo dan Lee Meng Yean.

Amelia dan Soong, yang juga pilihan keempat, melakar kemenangan selesa 21-10 dan 21-7 ke atas wakil tuan rumah, D. Sudha Kalyani dan Mukherjee Riya manakala Lim dan Lee pula mengalahkan pasangan Lalita Dahiya dan Seema Panchal, juga dari India dengan kemenangan 21-1 dan 21-5.

Dalam acara beregu campuran, tiga wakil negara berjaya menempatkan diri ke pusingan suku akhir selepas mengalahkan lawan masing-masing.

Pilihan kelapan, Wong Fai Yin dan Chow Mei Kuan mengalahkan gandingan India, Singh Vinay Kumar dan Mukherjee Riya, 21-19 dan 21-9 manakala pilihan keempat, Chan Peng Soon dan Lai Pei Jing menundukkan pasangan India daripada pusingan kelayakan, Utkarsh Arora dan Mohita Sahdev dengan 21-12 dan 21-8.

Tan Aik Quan dan Lee Meng Yean, yang merupakan pilihan ketujuh, mengalahkan gandingan tuan rumah, Sanyam Shukla dan Sanyogita Ghorpade menerusi kemenangan 21-10 dan 21-19.

Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara perseorangan wanita dan beregu lelaki pada kejohanan bertaraf Grand Prix Emas bernilai US$120,000 (RM430,440) itu selepas beberapa terkandas di pusingan awal. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");