Membawang Hari Ini, Perak Hari Ini

Mamat Khalid Sekali Lagi Pertaruhkan Filem Komedi Seram

Mamat Khalid sekali lagi muncul dengan filem terbarunya, Rumah Pusaka Di Simpang Jalan yang sudah pun mula ditayang pada 1 Januari yang lalu.

Filem yang bertemakan komedi seram ini membariskan beberapa pelakon yang hebat antaranya Pekin Ibrahim, Jihan Muse, Syuk SYJ, Bell Ngasri, Fatin Syahirah dan Ahmad Maembong yang juga merupakan adik kepada pelakon Emma Maembong.

Mengisahkan mengenai keturunan keluarga Datuk Semerah Setongkol Jagung, genre filem yang sebegini sudah tidak asing lagi buat pengarah terkenal itu.

Beliau yang pernah mengarahkan beberapa filem hebat seperti Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah itu sekali lagi memilih Perak sebagai lokasi pengambaran bagi setiap filem yang dihasilkannya.

“Pengambaran kali ini mendapat sokongan daripada Majlis Perbandaran Batu Gajah yang telah membenarkan dan memberikan kami menggunakan rumah banglo di Kelab Golf Batu Gajah.

“Sememangnya semua filem saya akan tertumpu di negeri ini bukan sahaja kerana ia tempat kelahiran saya, tetapi untuk mempromosikan negeri ini sebagai satu destinasi pelancongan.

“Ini juga tanda terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui sebelum tayangan perdana filem itu bermula di AEON Kinta City dekat Ipoh malam tadi.

Kutipan tiket untuk bantu mangsa banjir

Ditanya mengenai usaha untuk membantu mangsa terlibat dalam bencana banjir di negara baru-baru ini, beliau berkata, pihaknya juga tidak terkecuali dalam menghulurkan bantuan.

“Pada hari pertama tayangan filem ini diadakan di Mid Valley pada 1 Januari yang lepas, kami ada membuat tayangan khas untuk bencana banjir.

“Separuh daripada jumlah kutipan tiket telah disumbangkan kepada pusat-pusat pemindahan banjir yang disalurkan melalui organisasi yang ditubuhkan oleh Ahmad Maembong.

“Pada malam itu beliau bersama-sama dengan peminat JOZAN dan Emma Maembong telah datang ke pawagam dan menonton filem ini bagi tujuan tersebut,” ujar beliau lagi.

Elemen sindiran kepada masyarakat

Sama seperti filem-filem yang pernah diterbitkan melalui produksi miliknya iaitu Enjit Semut Sdn. Bhd., Mamat Khalid berkata, filem kali ini juga tidak lari dalam memasukkan elemen sindiran dan nasihat melalui jalan ceritanya, dan kali ini sekali lagi beliau telah membuat elemen tersebut dalam filemnya.

“Pada saya, dalam filem kali ini menceritakan berkenaan kita bangsa Melayu yang selalu kita dengar ada saka yang diperolehi daripada datuk moyang kita.

“Filem ini lebih menekankan penguasaan saka di zaman moden ini… adakah kita memerlukannya atau kita menolak seratus peratus kerana ia terpulang kepada kita,” katanya lagi.

Tahun 2015 jadi penentu

Mamat Khalid ketika diminta mengulas mengenai sasaran kutipan untuk filem tersebut berkata, tahun 2015 akan menjadi penentu kepada hasil kutipan yang memberangsangkan atau sebaliknya berikutan tahun sebelumnya mencatatkan pengurangan jumlah penonton ke pawagam.

“Dalam keadaan tenat dimana penonton berkurangan ke pawagam dan tahun 2014 mencatatkan rekod yang sangat sedih.

“Jadi bagi tahun 2015 ini hanya harapan yang menjadi harapan kami kerana pembikin filem mana yang tidak mahu mendapat keuntungan yang banyak dan ramai yang menonton filem mereka.

“Tetapi dalam keadaan sekarang ini dimana lambakan filem dan filem-filem kita dihimpit oleh filem barat, yang mahal dan sentimen penonton, kita tidak boleh menganggarkan kutipan yang hebat seperti tiga empat tahun yang lepas,” jelas Mamat Khalid lagi.

Sinopsis filem Rumah Pusaka di Simpang Tiga

Rumah Pusaka Di Simpang Jalan mengisahkan beberapa mengenai beberapa waris daripada keluarga Datuk Semerah Setongkol Jagung telah dipanggil ke sebuah rumah pusaka untuk menerima harta peninggalan warisan nenek moyang mereka.

Mereka telah dijemput ke rumah nenek moyang mereka itu dan disambut oleh Johar Zulkifli (Syuk SYJ) yang merupakan penjaga rumah tersebut dan juga salah seorang waris.

Rashid (Pekin Ibrahim) mempunyai perasaan aneh dimana beliau merasakan sesuatu yang tidak kena dengan rumah tersebut sejurus beliau menjejakkan kaki ke situ.

Namun untuk mendapatkan harta pusaka tersebut mereka semua diminta untuk tinggal di rumah pada malam itu dimana mereka terpaksa melalui ujian yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan meninggalkan rumah tersebut atau duit yang diberikan kepada mereka sejurus sampai ke rumah tersebut akan ditarik balik.

Peristiwa yang pelik mula berlaku kepada semua ahli keluarga termasuk Rashid, Markona (Beli Ngasri), Yeh Sekupang (Rab Khalid), Susanti (Jehan Muse), Ali (Ahmad Maembong) dan Milie (Fatin Syahirah).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");