Perak Hari Ini

Mangsa Khuatir Ancaman Gelombang Kedua Banjir Di Perak

BOTA: Kebanyakan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan Lambor Kiri, dekat sini menyuarakan kegusaran terhadap ancaman gelombang kedua banjir berikutan paras air sungai yang tidak menentu susulan hujan lebat yang turun sejak dua hari lalu.

Menurut salah seorang mangsa dikenali Kamaruddin Kulup Nasir, kejadian banjir berlaku secara tiba-tiba hingga menenggelamkan barangan rumah miliknya pada 24 Disember lalu.

“Pada pukul 6 petang, paras air naik dengan mendadak tetapi saya tidak berpindah ke pusat pemindahan kerana kediaman saya tidak terjejas teruk,” kata penduduk Kampung Kepayang itu lagi.

Tambahnya lagi, bantuan keperluan asas makanan dihulurkan kepada penduduk yang tidak berpindah ke pusat pemindahan.

“Bantuan makanan seperti beras, sardin dan susu dihulurkan dan bantuan lain seperti perkakasan almari amat diperlukan kerana rosak akibat banjir,” katanya.

Tambahnya, khabar angin mengenai kedatangan gelombang kedua banjir cukup membimbangkan hatinya dan penduduk yang lain.

banjir12

“Ketika banjir, ada pihak mengambil kesempatan memecah masuk kediaman yang ditinggalkan walaupun memang ada rondaan dilakukan oleh golongan pemuda kampung,” katanya.

Sementara itu, Nordzuah Yeop Nain dari Kampung Lambor Kiri pula menjelaskan hampir keseluruhan barangan rumahnya tidak dapat diselamatkan dan kini tinggal sementara di rumah anaknya hingga banjir surut.

“Banyak barangan rosak seperti makanan, perabot dan kelengkapan rumah yang tidak sempat diselamatkan dalam kejadian banjir kali ini,” katanya sambil menyuarakan harapan bantuan peralatan rumah dapat disalurkan kepada mangsa banjir di kawasan tersebut.

Kamaruddin Razali dari Kampung Bakong pula menegaskan beliau sendiri belum pasti bila gelombang banjir pertama itu akan berakhir.

“Pada hari kejadian, isteri panggil saya pulang selepas banjir berlaku secara mendadak dan kami tidak berjaya menyelamatkan barangan rumah yang ditenggelamkan air paras pinggang,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau kini ditempatkan di pusat perpindahan di Lambor Kiri dan menerima bantuan keperluan asas yang mencukupi.

“Dakwaan kami tidak dapat makan itu ternyata bohong dan kami mengharapkan supaya bantuan berupa peralatan rumah dapat disalurkan selepas ini,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");