Sukan Hari Ini

Perlis tawar jadi venue utama woodball 2017

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menawarkan Perlis sebagai venue utama acara woodball jika sukan itu dipertandingkan pada temasya Sukan SEA 2017 di Malaysia.

Baginda selaku penaung Persatuan Woodball Perlis dan Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah gelanggang woodball UniMAP layak dijadikan venue utama.

Syed Faizuddin bertitah baginda turut menerima salinan surat Presiden Persekutuan Woodball Asia, Thomas Kok kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin meminta woodball dipertandingkan pada temasya 2017.

“Walaupun masih awal untuk membuat keputusan selain sukan ini dianggap baru oleh sesetengah pihak, beta yakin kerajaan berpandangan jauh kerana prasarana untuk pertandingan woodball di Perlis mencukupi dan memuaskan,” titah baginda.

Syed Faizuddin bertitah pada majlis penyampaian hadiah kejohanan Woodball Antara Agensi Agama Negeri Perlis merebut Piala Pusingan Yang DiPertua MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) yang pertama anjuran Pejabat Tuanku Raja Perlis di gelanggang woodball Kompleks Sukan Syed Sirajudin Areeb Putra (KSSAP) UniMAP di Arau, hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta putera dan puteri baginda.

Pertandingan itu disertai 91 peserta mewakili pasukan Pejabat Tuanku Raja Perlis, MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Kehakiman Syariah Perlis (JKSN), Yayasan Islam Perlis dan Jabatan Mufti Perlis.

Syed Faizuddin bertitah Perlis wajar diberi peluang kerana gelanggangnya bertaraf antarabangsa serta diiktiraf oleh Persekutuan Woodball Antarabangsa, Persekutuan Woodball Asia, Persekutuan Woodball Malaysia dan The International University Sports Federation (FISU).

Di samping itu, kemudahan lampu simbah KSSAP memenuhi standard untuk penganjuran kejohanan antarabangsa selain UniMAP berpengalaman mengendalikan beberapa-beberapa kejohanan besar dan bertaraf antarabangsa, titah baginda.

Syed Faizuddin bertitah antara acara besar pernah diadakan di UniMAP ialah kejohanan Woodball Universiti Sedunia Ke-4 (21-26 Okt 2014) dan kejohanan Woodball Universiti Asia yang pertama (1-6 Nov 2013).

Dua lagi gelanggang woodball di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Arau dan Dataran Sheikh Ahmad di Kangar milik Majlis Perbandaran Kangar (MPK) pernah dijadikan gelanggang kejohanan Woodball Piala Asia Ke-7 dan Woodball Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-15 pada 2011, titah baginda.

Menurut baginda dua pegawai dan empat pemain Perlis turut menyertai kejohanan Woodball Dunia di Sanya, China dari 5 hingga 11 Sept 2014 bagi menggambarkan Perlis layak menjadi tuan rumah acara woodball Sukan SEA 2017. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");