Sukan Hari Ini

Ronaldo mohon maaf, Barca terus hambat Real

BARCELONA: Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo diarah keluar padang kerana menendang pemain lawan ketika Real Madrid menewaskan Cordoba 2-1 dengan Barcelona terus memberi tekanan kepada pendahulu La Liga itu hasil kemenangan besar 6-0 ke atas Elche.

Real kekal di puncak liga dengan 48 mata, kelebihan satu mata di depan Barca dan kurang satu perlawanan namun ketiadaan Ronaldo akibat penggantungan selepas ini, mampu mencetus masalah buat Galaticos.

“Saya meminta maaf kepada semua orang terutama kepada Edimar kerana tindakan tanpa berfikir saya dalam perlawanan hari ini,” kata Ronaldo dalam akaun Twitter miliknya.

Dua pencabar hebat bintang Portugal itu di Barcelona, Lionel Messi dan Neymar masing-masing meledak dua gol dengan Gerard Pique meraikan penampilan ke-200 La Liga dengan gol pembukaan cantik menerusi sepakan voley 10 minit sebelum rehat babak pertama.

Messi kemudian menyumbat gol kedua Barca menerusi penalti selepas Neymar dijatuhkan sebelum bintang Brazil itu meledak gol pada minit ke-69.

Dua minit kemudian, Neymar membuktikan ketajamannya dengan meledak gol kedua peribadinya sebelum Messi menyumbat gol kelima pada minit ke-88 diikuti jaringan keenam oleh Pedro pada masa kecederaan.

“Selepas gol pertama, semuanya menjadi mudah dan kami mampu mengawal perlawanan,” kata jurulatih Barca, Luis Enrique.

“Ini adalah perlawanan yang tipikal pada musim ini dan mereka bukan mudah untuk mencatat kemenangan jadi saya gembira dengan cara pasukan saya bermain dalam tempoh 90 minit,” katanya.

Ronaldo dalam pada itu menendang Edimar ketika perlawanan berbaki tujuh minit selain dilihat turut melepaskan tumbukan kepada pemain lawan ketika pelawat gagal menyempurnakan peluang yang terhidang.

Cordona terlebih dulu di depan seawal minit ketiga perlawanan menerusi Nabil Ghilas hasil sepakan penalti dan Real hanya menyamakan kedudukan menerusi Karim Benzema pada minit ke-27.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan seri, sepakan percuma bintang Wales, Gareth Bale menghasilkan penalti buat Real selepas tendangannya terkena tangan pemain Cordoba, Fede Cartabia.

Cartabia turut diarahkan keluar padang kerana menerima kad kuning kedua dengan Bale menyempurnakan penalti itu sendiri ketika perlawanan berbaki dua minit. – Reuters/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");