Sukan Hari Ini

Serangan, tengah Felda United perlu dibaiki

KETUA jurulatih kelab bola sepak Felda United, Irfan Bakti mengakui bahagian tengah dan serangan pasukan berkenaan masih perlu diperbaiki menjelang aksi sepak mula Liga Super pada 7 Februari ini.

Pengendali berusia 63 tahun itu menjelaskan pemain di bahagian berkenaan perlu bekerja keras kerana mereka tidak mempamerkan corak permainan sebenar dalam beberapa perlawanan persahabatan pra musim.

“Kita masih ada dua minggu lagi (sebelum sepak mula Liga Super) dan saya akan cuba memperbaiki kelemahan dua bahagian tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan persahabatan pra musim menentang Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dekat sini, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Felda United menang 1-0 hasil jaringan pemain gantian, Mohd Hadin Azman pada minit ke-76.

Irfan berpuashati dengan keputusan diraih dalam beberapa perlawanan persahabatan yang menyaksikan mereka hanya kalah dua perlawanan iaitu menentang kelab Liga Premier, PKNS FC dan kelab Liga Super Indonesia, Persib Bandung.

Beliau turut menyifatkan pasukan Pulau Pinang kendalian jurulatih dari Brazil, Jackson Ferreira Tiago mempunyai potensi cerah untuk layak beraksi pada saingan Liga Super 2016.

Sementara itu Tiago berkata beliau berpuas hati dengan persembahan skuad harimau kumbang itu biarpun gagal mengekalkan rekod kemenangan selepas 12 perlawanan persahabatan.

“Pemain menunjukkan sikap yang baik apabila mereka tidak berputus asa mencari gol. Saya bangga dengan mereka yang telah mencipta beberapa peluang menjaringkan gol tetapi Felda United bermain dengan lebih baik,” kata bekas pemain Brazil itu.

Pemain Pulau Pinang nampaknya telah belajar daripada perlawanan ini dan beliau berharap mereka akan bangkit kembali dalam perlawanan persahabatan seterusnya menentang Selangor di Stadium Shah Alam Rabu ini, katanya lagi.

Pulau Pinang bakal memulakan kempen Liga Premier menentang juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kuantan FA dari Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 6 Februari ini.

Felda United yang layak beraksi ke Liga Super musim ini selepas muncul naib juara Liga Premier 2014, menerima kunjungan Sarawak pada aksi pertama Liga Super, 7 Februari ini di Stadium MPS. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");