Membawang Hari Ini

Tarikan Nad & Dina

MERANCAKKAN lagi tirai 2015, CTRA Production, membawakan dua naskhah dalam satu persembahan, Diari Wanita: Episod Kak Ani dan Nyonya, yang bakal dipentaskan pada 11 hingga 16 Februari di Panggung Sari, Istana Budaya.

Naskhah ‘Nyonya’ ditulis penulis Indonesia, Wisran Hadi manakala, ‘Kak Ani’ adalah sebuah karya baharu yang ditulis oleh pengarah tersohor, Rosminah Tahir.
Teater yang berkisarkan wanita-wanita keponakan ini turut mengangkat peranan golongan Hawa dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Diterajui Sherry Alhadad, Misha Omar, Amy Mastura, Juhara Ayob, Dayang Kartini Awang Bujang, Shahrul Mizad Ashari dan Zera Hariz, teater ini turut dibintangi dua bintang muda, Nad Zainal dan Dina Nadzir sebagai pelengkap.

Penerbitnya, Siti Rohayah Attan menyifatkan penampilan Nad dan Dina dapat menjadi tarikan kepada golongan muda untuk menyaksikan teater ini.

Bagi Nad Zainal, dia sudah bersedia untuk beraksi lagi di pentas teater dan tawaran tersebut dapat memberi peluang untuknya terus aktif dalam pementasan.

“Saya harus bersedia dari segi mental dan fizikal kerana teater ini mengumpulkan pelakon yang sememangnya cukup terkenal di pentas teater seperti Juhara Ayob, Sherry Alhadad dan Shahrul Mizad.

“Tidak sangka saya ditawarkan untuk berlakon dalam teater ini selepas sekian lama tidak aktif.

“Lagipun teater ini diibaratkan satu reunion bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kerana kebanyakan pelakon pernah belajar di sana. Begitu juga dengan pengarahnya, Rosminah Tahir yang merupakan bekas pensyarah kami,” katanya yang pernah muncul dalam teater Maduku Kalut, tahun lalu.

Menurut Nad, dia memegang watak sebagai setiausaha kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Rohani Abdul Karim menerusi segmen teater Kak Ani.

Biarpun mempunyai pengalaman luas dalam teater, Nad berkata cabaran terbesar yang dihadapinya adalah menghafal dialog monolog panjang dan bermain dengan pelbagai emosi.

Jelasnya, dia sangat tertarik dengan kisah wanita yang melalui pelbagai rintangan bergelar menteri, sekaligus melaksanakan tanggungjawab kepada negara antara faktor dia menerima watak itu.

“Teater sebegini wajar ditonton oleh semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda, ibu tunggal dan pelajar sekolah. Dari sini, mereka boleh melihat usaha-usaha yang dijalankan untuk mewujudkan keluarga bahagia di negara ini,” katanya.

Dina bikin kecoh

Sementara itu, Dina Nazir yang juga penyampai Radio Era Menerusi, turut menyatakan rasa terujanya membintangi teater ini. Jelas Dina, dia perlu membawa watak komedi dan bertutur dalam dialek Indonesia.

“Saya sangat gembira dapat bersama dengan produksi ini, lebih-lebih lagi pelakon yang terlibat bukan calang-calang nama dan juga teman rapat saya iaitu Misha Omar dan Amy Mastura.

“Kami merupakan golongan penyanyi yang berani berhadapan risiko apabila menceburkan diri dalam dunia lakonan sama ada di televisyen, filem mahupun teater,” ujarnya yang pernah muncul dalam teater seperti Impak Maksima dan Supermokh The Musical di Istana Budaya.

Menurut Dina, setiap lakonan pasti mempunyai cabaran tersendiri dan kali ini dia terpaksa melakukan adegan yang agak sukar, di mana memerlukannya bergaduh dengan Nyonya dan Keponakannya.

“Watak itu sebelum ini pernah digalas oleh pelakon lain. Saya perlu menghayati watak dengan sebaiknya. Bikin kecoh dengan marah-marah kerana cemburu bila melihat suami sendiri sering bertandang ke rumah Nyonya itu,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");