Membawang Hari Ini

Teater klasik dari Barat

SABAN minggu ada sahaja pementasan teater dijalankan oleh mahasiswa Fakulti Teater Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Menariknya, teater-teater yang dipersembahkan datangnya dari genre dan karya berbeza.

Terbaharu giliran penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Teater Aswara, mempersembahkan teater klasik yang berjudul Ghost, di bawah bimbingan pengarah dan juga pensyarah Aswara, Ahmad Yatim.

Istimewanya naskhah dari Barat hasil karya Henrik Ibsen, diterjemahkan sendiri oleh Ahmad Yatim.

Merupakan sebahagian kursus wajib, pelajar akan dinilai dari pelbagai aspek, antaranya lakonan, solekan dan kostum serta tata cahaya pementasan.

Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat dan Antarabangsa Aswara, Bahizal Abu Bakar berkata, sebagaimana setiap kali pementasan teater dijalankan di sini, ia pasti mendapat sambutan hebat daripada pelajar dan peminat teater.

“Lebih-lebih lagi apabila mengetahui Ghost mendapat bimbingan Ahmad Yatim, sudah pasti karya ini menjadi tumpuan sementelah dikendalikan oleh pengarah yang sangat berbakat dalam bidang teater.

“Malah bimbingan beliau juga antara faktor teater dipersembahkan dengan mantap dan berkesan,” katanya.

Tambah Bahizal, lebih menarik, teater ini telah diterjemahkan kepada bahasa Melayu daripada karya asalnya yang merupakan sebuah teks klasik Barat.

“Walaupun dialog dilakukan secara alih bahasa, tetapi ia masih mampu mengekalkan tema dan persoalan utama yang ingin diketengahkan dalam teater ini,” katanya.

Sedikit mengenai teater ini, ia berkisarkan Puan Alving, janda kepada Kapten Alving yang semasa hidupnya disanjung dan dihormati nekad menjalankan kerja amal dan membina rumah anak yatim untuk didedikasikan kepada suaminya yang sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun cabaran dan dugaan hidupnya mula berlaku apabila rumah anak yatim yang dibina terbakar sebelum sempat dirasmikan.

Kehadiran anak lelakinya Oswald, yang membesar di Paris pula membawa cerita duka apabila dia mendedahkan kepada Alving dia sedang menghidap penyakit kelamin.

Dek kerana itu, Alving mula membuka satu persatu cerita mengenai suaminya.

Lepasi cabaran dialog

Meskipun masih menimba ilmu dan mencari pengalaman dalam bidang seni teater, namun ia bukan alasan penuntut yang dinilai memberikan lakonan tidak berkesan.

Malah mereka wajar dipuji apabila setiap lakonan yang ditampilkan menjadi dan cukup hebat di mata penonton.

Bahizal berkata, setiap pelakon berjaya berhadapan dengan cabaran besar merealisasikan pementasan tersebut apabila setiap dialog telah dilontarkan dengan baik.

“Teater klasik dikenali dengan kesukaran untuk pelakon melontarkan dialog panjang dan membawa mesej yang berat.

“Bagaimanapun pelajar yang memegang watak utama di dalam teater ini berjaya membuktikan ia bukan halangan besar kepada mereka.

“Apa yang saya lihat, setiap gaya lakonan teater klasik telah dipersembahkan dengan baik sekali,” katanya yang turut memuji persembahan mereka yang tampak lebih hidup dengan bantuan elemen visual seperti set, kostum, tatarias dan pencahayaan yang sesuai mengikut zaman tersebut.

Jelasnya, secara keseluruhan pelajar Aswara terbukti mampu mementaskan karya yang hebat ini di hadapan khalayak.

“Sebagai sebuah pementasan yang bernilai tinggi, karya ini layak disokong untuk terus dipentaskan di panggung utama seperti di Istana Budaya dan tempat lain lagi,” katanya.

Antara pelakon terlibat, Nurzaima Husain memegang watak sebagai Puan Alving, Mohammad Faiz Abdul Malek sebagai Oswald Alving, Afiq Azhar Ali sebagai Manders, Shah Hassannul Manzar Borhannudin sebagai Engstrand dan Wan Alia Yuhanis Arif Fadzillah sebagai Regina Engstrand.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");