Jenayah

Tetap samun walau salah rumah

KAMPAR – Kalau dah penyamun…siapa mangsa tidak diendahnya. Walaupun tersilap pecah masuk rumah, misi menyamun harta benda mangsa tetap keutamaan.

Itulah yang berlaku kepada sebuah keluarga yang kerugian lebih RM4,000 selepas kediaman mereka di Kampung Jeram, di sini dipecah masuk sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang awal pagi semalam.

Dalam kejadian tersebut, tiada kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian tersebut enam telefon bimbit dan barang kemas yang dilarikan kumpulan penyamun terbabit.

Malah, dalam pada galak menyamun, salah seorang daripada penyangak terbabit sempat memohon maaf kepada mangsa atas kejadian itu sebelum lesap melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, berdasarkan keterangan, suspek dipercayai tersalah memasuki rumah mangsa apabila salah seorang daripada mereka sempat meminta maaf sebelum melepaskan mangsa.

“Dipercayai kumpulan lima suspek terbabit merupakan warganegara asing memasuki rumah mangsa mengikuti tingkap salah sebuah bilik.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai kejadian, mangsa, Mohd Shahir Hamil, 26, berkata, kumpulan penyamun terbabit dilihat agak terdesak kerana bukan sahaja melarikan barang berharga malah minyak wangi berharga RM15 pun disamun.

Mohd Shahir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, dia pelik apabila perompak itu turut mengambil beberapa seluar jeans dan baju T yang diletakkan dalam almari pakaiannya sebelum melarikan diri.

“Saya terkejut dari tidur apabila mendengar ibu menjerit kuat memanggil nama saya tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa apabila salah seorang perompak terbabit mengacu parang dan ikat tangan dan kaki dengan menggunakan kabel pengecas telefon bimbit.

“Malah, mereka turut mengikat kedua kedua ibu bapa saya dengan menggunakan tali leher dan tali pinggang dan mengurung kami dalam bilik tidur saya,” katanya.

Menceritakan kembali sebelum kejadian, bapa mangsa, Hamil Abd Shukor, 68, tidak menyangka bunyi besi patah didengarinya merupakan bunyi jeriji tingkap bilik tetamu dipotong.

“Ketika itu, bapa saya telah memeriksa semua tingkap rumah termasuk di bilik tetamu yang kosong itu tetapi tiada apa-apa yang mencurigakan sebelum masuk semula ke bilik tidur.

“Kemudian, emak, Zaharah Saaid, 68, turut mendengar bunyi sama menyebabkan dia keluar bilik terkejut mendapati kelima-lima perompak sudah berada di ruang tamu rumah menyebabkan dia menjerit sebelum diugut dengan menggunakan parang,” katanya.

Katanya, keadaan perompak itu agak melucukan apabila, tiga daripada mereka kelam kabut mencari kain untuk menutup wajah mereka.

Sementara itu, kakak mangsa, Haslina Hamil, 43, berkata, dia sempat menyorok bersama anaknya, Ashraf Haikal berusia enam tahun dalam bilik air.

Katanya, dia hanya memeluk anaknya yang menggigil dalam bilik air sementara perompak terbabit mengikat ahli keluarganya di bilik bersebelahan.

“Namun, keadaan itu tidak lama apabila salah seorang perompak terbabit menyedari bilik air yang diduduki kami berkunci. Kami dikumpul sekali dalam bilik yang dijaga oleh seorang perompak sebelum empat lain menggeledah seluruh rumah kami,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");