Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Cadang Penubuhan Lembaga Perumahan Negeri

IPOH: Kerajaan Perak bercadang mewujudkan Lembaga Perumahan bagi memantau dan menjadi penasihat berkaitan industri perumahan di negeri terbabit.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Saarani Mohammad, cadangan berkenaan kewujudan jawatankuasa akan diputuskan dalam mesyuarat untuk tempoh terdekat.

“Pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah diarahkan untuk membuat satu kertas kerja berkaitan penubuhan lembaga ini yang akan bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Negeri dalam perkara-perkara berkaitan industri perumahan.

“Keputusan untuk mewujudkan Lembaga Perumahan Negeri akan diputuskan dalam minit mesyuarat pada minggu hadapan.

“Kerajaan Negeri akan mengeluarkan perincian persetujuan bersama berkenaan perkara tersebut antara kerajaan negeri dan pemaju,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Ipoh, hari ini.

Mesyuarat yang membincangkan berkenaan isu industri perumahan di Perak itu juga telah disertai oleh agensi perumahan seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan Pejabat Tanah dan Galian.

Beliau berkata, lembaga berkenaan akan melibatkan beberapa pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

“Badan itu dijangka akan membabitkan pegawai daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) serta Rehda Perak,” katanya.

Katanya lagi, Lembaga Perumahan mempunyai fungsi yang penting dalam memastikan urusan pembinaan rumah berjalan lebih lancar dan mengikut kehendak pasaran.

“Kita perlu ada data mengenai berapa keperluan pembeli… kalau terlalu banyak rumah yang dibina tetapi tiada pembeli, kita akan mengalami kerugian.

“Sebaliknya, kalau terlalu banyak permintaan tetapi tiada rumah yang dibina pula, harga rumah pula yang akan meningkat.

“Jadi, kita memerlukan data ini untuk memastikan kita membina rumah berdasarkan keperluan rakyat.

“Selain itu, badan ini juga berfungsi untuk mengenalpasti pasaran harga dan juga demografi perumahan berkenaan,” ujar beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");