Sukan Hari Ini

Rebah di Eropah, Liverpool tumpu saingan domestik – Rodgers

ISTANBUL: Liverpool yang terluka kini mengecilkan fokus dalam saingan domestik selepas disingkir Besiktas pada peringkat 32 terakhir Liga Europa, awal pagi tadi menerusi penentuan penalti.

Berkunjung ke Stadium Ataturk, Istanbul dengan kelebihan hasil kemenangan 1-0 di Anfield, Liverpool begitupun tewas 0-1 kepada Besiktas dan diheret ke penentuan penalti selepas keputusan agregat berakhir 1-1.

Besiktas tidak mensia-siakan sebarang peluang dengan kelima-lima cubaan menerjah jaringan ketika Dejan Lovren meranapkan harapan Liverpool dengan keputusan berakhir 5-4.

Begitupun, bagi pengurus The Reds, Brendan Rodgers, kekalahan itu memberi peluang buat anak buahnya memberi tumpuan terhadap kempen domestik.

“Kami kini boleh memberi tumpuan kepada kempen liga, yang ketika ini bertambah baik, dan kami juga memperoleh peluang dalam beberapa kejohanan lain,” kata Rodgers.

Liverpool ketika ini sedang meraih rentak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas permulaan hambar dan dijadual bertemu Blackburn dalam saingan pusingan enam Piala FA pada Mac.

Begitupun, lawan The Reds dalam EPL selepas ini ialah penyandang juara, Manchester City, Ahad ini.

“Saya hanya boleh memberi pujian kepada pemain saya,” kata Rodgers. “Namun malangnya di Istanbul, ia bukanlah tempat yang menggembirakan buat kami malam ini.

“Sudah tentu kami kecewa dengan keputusan ini,” katanya.

Berdepan lebih 70,000 penyokong Besiktas yang mencipta suasana cukup menggerunkan, Liverpool sedar kesukaran yang dihadapi di Istanbul yang menyaksikan gawangnya bocor menerusi Tolgay Arslan pada minit ke-72.

Ketika kedudukan penalti berkedudukan 4-4, Arslan sekali lagi muncul wira Besiktas dengan menyempurnakan penalti ketika Lovren melihat sepakannya melepasi palang gol.

“Seseorang perlu terlepas peluang dan malangnya, ia adalah dia (Lovren),” kata Rodgers.

Pada 2005, Stadium Ataturk memberi memori indah buat Liverpool yang menjuarai gelaran Eropah buat kali kelima hasil kemenangan menerusi penalti ke atas AC Milan. – AFP/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");