Sukan Hari Ini

Tonik badak

Kota Kinabalu: Kehadiran dua pemain import yang juga bekas pemain Liga Perdana Inggeris, El Hadji Diouf dan Abdoulaye Faye berjaya menyuntik semangat pemain Sabah untuk terus mencipta kemenangan pada saingan Liga Perdana musim ini.

Hakikat itu diakui pemain pertahanan skuad Badak, Mohd Azzizan Nordin, 21, yang semakin serasi bermain selain menjalani latihan bersama mereka.

“Kami beroleh banyak pengalaman dan ilmu baru sejak menjalani latihan serta bermain bersama mereka. Selain itu, mereka berdua turut menyuntik semangat sepasukan untuk sentiasa bersedia menghadapi pasukan lawan selain mencipta kemenangan pada setiap perlawanan,” katanya.

Mohd Azzizan yang pernah beraksi bersama Harimau Muda B turut yakin Sabah akan menjadi salah satu pasukan digeruni musim ini kerana mereka mendapat khidmat pemain bertaraf antarabangsa.

Katanya, dia sedia untuk diturunkan menentang DRB-Hicom hari ini dan tidak memandang remeh keupayaan pasukan bertaraf kelab itu.

“Semua pemain Sabah sudah bergerak sebagai satu pasukan dan tidak keterlaluan jika saya katakan kami seolah-olah sebuah keluarga besar. Kami faham kehendak satu sama lain dan yakin dapat mengumpul tiga mata esok,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Datuk Seri TC Goh yakin Sabah tidak akan berdepan masalah meneruskan rentak kemenangan apatah lagi bermain di depan penyokong sendiri.

“Keputusan perlawanan pertama di ibu negara minggu lalu berjaya memberi suntikan semangat kepada pasukan untuk lebih berwaspada.
“Pasukan amat memerlukan penyokong kerana mereka berupaya memberi semangat kepada pemain dan saya menyeru peminat datang memenuhi Stadium Likas,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");