Sukan Hari Ini

Tuah Tahun Kambing

Kuala Lumpur: Tahun Kambing diharap bakal membawa lebih banyak tuah berbanding Tahun Kuda yang baru saja berlalu.

Justeru, tidak hairanlah kehadiran Tahun Baru Cina kali ini akan menjadi suntikan semangat buat pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing dalam mengharungi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini.

Selepas terlepas peluang mempertahankan gelaran pasukan terbaik CP130 kali keempat berturut-turut musim lalu, pengurus Soong Chee Kieong berharap pasukannya kembali garang dan bagi meningkatkan peluang merebut kejuaraan, SCK mendapatkan khidmat pelumba berpengalaman Elly Idzlianizar Ilias dan Mohd Hafiz Nor Azman.

Kedua-dua pelumba itu akan mengisi tempat ditinggalkan Ahmad Fazrul Sham dan Mohd Fitri Ashraf Razali yang berpindah ke pasukan lain dan kedua-duanya bakal bergandingan dengan pelumba berpengalaman, Norizman Ismail dan Zamri Baba.
Keempat-empat pelumba ini akan beraksi dalam kategori perdana CP130.

“Kami sudah melakukan rombakan pelumba bagi mengharungi Tahun Kambing kali ini,” kata Chee Kieong.

“Kami amat gembira untuk mengumumkan Elly kembali ke pangkuan SCK selepas setahun beraksi dalam kategori CP115.

“Selain Elly, kami juga menandatangani kontrak bersama Hafiz, pelumba muda berbakat yang mengambil keputusan untuk berehat tahun lalu.

“Kedua-dua pelumba ini cukup dahagakan kemenangan dan saya percaya kehadiran mereka bagus untuk pasukan ini, sekali gus mendorong mereka memberikan aksi terbaik setiap pusingan.

Bukan setakat itu, pengurus itu turut mendedahkan pasukannya akan menampilkan jentera ‘berwajah’ baru dan berharap perubahan ini membawa lebih banyak tuah buat pasukannya yang sudah menempa pelbagai jenis kejayaan sepanjang pembabitan dalam kancah Cub Prix.

Antaranya, kem ini pernah bergelar Juara Anugerah Berpasukan CP130 selama tiga tahun berturut-turut (2011-2013) dan mereka juga memenangi gelaran juara CP130/Expert individu sebanyak tiga kali menerusi Norizman Ismail (2005, 2011) dan Azlan Shah Kamaruzaman (2012).

Selain itu, antara pelumba SCK Racing yang pernah bergelar juara termasuk Ridwan Bakri (WIRA) dan Affendi Rosli yang menjuarai kategori Novis pada 2007.

Lebih membanggakan lagi, Affendi turut muncul juara keseluruhan Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS pada 2009.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");